
HANOI, 17 Ogos – Vietnam mempergiat persiapan bagi perkhidmatan 6G dalam usaha memendekkan tempoh penyelidikan, penguasaan dan pengkomersialan teknologi telekomunikasi generasi baharu itu, dengan memanfaatkan pengalaman membangunkan 4G dan 5G, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
- Lebih 40,000 stesen pangkalan 5G dibangunkan, meliputi 90% penduduk menjelang awal 2026.
- Kementerian tubuhkan jawatankuasa pemandu 6G untuk sertai penetapan piawaian antarabangsa dan sedia pelaksanaan domestik.
- Vietnam tingkatkan penggunaan peralatan buatan tempatan, dengan kira-kira 250 stesen kini gunakan reka bentuk domestik.
- Viettel sertai Program Akses Awal Qualcomm; sasaran panggilan 6G pra-komersial awal 2029 menggunakan peralatan mereka.
Timbalan Pengarah Pihak Berkuasa Telekomunikasi Vietnam, Nguyen Anh Cuong, berkata Vietnam mencatat kemajuan ketara dalam pembangunan infrastruktur 5G, selain secara berperingkat membuat persiapan untuk penyelidikan dan pembangunan 6G.
Kementerian Sains dan Teknologi turut menubuhkan jawatankuasa pemandu bagi penyelidikan dan pembangunan 6G, dengan matlamat membolehkan Vietnam menyertai pembangunan teknologi itu sejak peringkat awal penetapan piawaian antarabangsa, menguasai teknologinya serta membuat persiapan pelaksanaan yang bersesuaian dengan keadaan domestik.
Menurut Cuong, pembangunan 6G memerlukan kerjasama antara negara, syarikat dan organisasi piawaian antarabangsa bagi memastikan keserasian infrastruktur telekomunikasi di seluruh dunia.
“Vietnam mengambil masa lebih lapan tahun untuk menguasai teknologi 4G dan menghasilkan peralatan selepas piawaian 4G ditetapkan, namun tempoh itu dipendekkan kepada kira-kira dua tahun bagi 5G,” katanya.
Menjelang awal 2026, Vietnam telah membangunkan lebih 40,000 stesen pangkalan 5G yang meliputi 90 peratus penduduk negara itu.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 250 stesen menggunakan peralatan yang direka bentuk, dihasilkan dan dibangunkan oleh syarikat tempatan.
Vietnam menyasarkan untuk meningkatkan lagi jumlah stesen pangkalan yang menggunakan peralatan buatan tempatan, selain memperluas bahagian produk dan teknologi infrastruktur telekomunikasi yang diselidik serta dibangunkan dalam negara.
Sebelum ini, kumpulan telekomunikasi dan teknologi kendalian tentera, Viettel, menjadi rakan kongsi pertama di dunia menyertai Program Akses Awal 6G Qualcomm Technologies.
Menerusi program itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk menjalankan panggilan 6G pra-komersial pertama pada awal 2029 menggunakan sistem dan peralatan yang dibangunkan serta dihasilkan oleh Viettel.
Di bawah pelan pembangunan infrastruktur digitalnya, Vietnam menyasarkan 100 peratus penduduk mempunyai akses kepada rangkaian gentian optik berkelajuan sekurang-kurangnya 1Gbps menjelang 2030.
Negara itu turut menyasarkan liputan 5G kepada 99 peratus penduduk serta bersedia menjalankan ujian rangkaian 6G. – BERNAMA-VNS/VNA