
LA PAZ, 21 Jun – Presiden Bolivia, Rodrigo Paz yang mengisytiharkan darurat pada Sabtu telah mengarahkan operasi pembersihan sekatan jalan bertujuan memulihkan akses ke lokasi terjejas bagi membolehkan pergerakan orang ramai serta barangan, disambung semula.
- Presiden memberi amaran penunjuk perasaan akan berdepan tindakan tegas.
- Darurat 90 hari diisytiharkan, mengehadkan hak berhimpun dan membenarkan tentera digerakkan.
- Perhimpunan menyekat jalan, menyebabkan kekurangan bahan api, makanan, ubat serta kerugian ekonomi berbilion dolar.
Presiden Rodrigo Paz yang muncul dalam siaran televisyen telah memberi amaran terhadap kumpulan penunjuk perasaan yang bakal berdepan ‘tindakan tegas’.
Beliau mengisytiharkan darurat selama 90 hari yang mengehadkan hak untuk berhimpun dan membantah serta membenarkan tentera dikerah untuk operasi dalam negara.
Selama lebih enam minggu, kesatuan pekerja, kumpulan masyarakat Orang Asli dan petani telah berhimpun di bandar-bandar serta menyekat jalan raya di seluruh negara, sebagai bantahan terhadap kerajaan.
Senario itu mengakibatkan bandar-bandar utama mengalami kekurangan bekalan bahan api, makanan serta ubat-ubatan yang serius.
Keadaan berkenaan telah menjejaskan ekonomi negara yang mengalami kerugian berbilion dolar.
Beberapa jam selepas ucapannya, wartawan AFP di bandar El Alto melaporkan, operasi pembersihan telah digerakkan pihak berkuasa dengan polis antirusuhan, anggota tentera dan jentera berat berusaha membuka semula laluan dan memulihkan aliran trafik.
Sementara itu, polis serta anggota tentera ditempatkan di istana Presiden, manakala unit taktikal polis ditempatkan di dataran-dataran utama.-AFP