Cornell buka semakan bebas susulan dakwaan rogol berkumpulan

Foto AFP

NEW YORK, 4 Oktober – Presiden Universiti Cornell, Michael Kotlikoff menyokong semakan bebas terhadap pengendalian universiti berhubung dakwaan rogol berkumpulan membabitkan seorang pelajar pada 2024.

Beliau berkata semakan oleh firma guaman luar itu akan meneliti semua aspek pengendalian kes berkenaan, susulan kecaman terhadap universiti berkenaan dan pihak pendakwa raya New York kerana tidak mendakwa individu yang dituduh.

Kes itu menjadi perhatian selepas mangsa, menerusi saman sivil yang difailkan bulan lalu, mendakwa dirinya diberikan dadah ketamin sebelum diserang dan dirogol tujuh anggota persaudaraan Chi Phi.

“Ini adalah antara minggu paling sukar dalam sejarah kami, dan saya tahu ramai antara anda marah, sedih serta bergelut dengan apa yang berlaku,” kata Kotlikoff dalam video yang disiarkan di laman sesawang Cornell.

Beliau menyifatkan apa yang berlaku terhadap mangsa yang dikenali sebagai Jane Doe pada 2024 sebagai amat membimbangkan dan akan terus memberi kesan kepada komuniti universiti itu untuk bertahun-tahun.

Siasatan jenayah berhubung dakwaan berkenaan dibuka semula Isnin lalu, dengan Gabenor New York Kathy Hochul melantik Peguam Negara negeri, Letitia James, untuk mengetuai siasatan.

Hochul mengkritik cara siasatan awal dijalankan, termasuk dakwaan bahawa mangsa telah memberikan keterangan selama berjam-jam kepada polis dan menyatakan dengan jelas bahawa dia yakin telah dirogol.

Kotlikoff berkata Cornell menyokong keputusan membuka semula siasatan jenayah itu, namun universiti tidak akan menunggu sehingga siasatan atau semakan bebas selesai sebelum mengambil tindakan.

“Kami akan terus mengambil setiap langkah yang perlu bagi memastikan Cornell bukan sekadar memimpin dari segi apa yang kami katakan mengenai isu ini, tetapi juga melalui tindakan yang kami lakukan untuk menanganinya,” katanya.-AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.