China harap hubungan dengan Korea Selatan kekal stabil dan kukuh

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung (kiri) berjabat tangan dengan Presiden China, Xi Jinping semasa majlis menandatangani MoU di Beijing pada Isnin. Foto AFP.

BEIJING, 6 Januari – Pemimpin tertinggi badan perundangan China menyatakan harapan agar hubungan negaranya dengan Korea Selatan kekal stabil serta terus diperkukuh, susulan lawatan Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung ke Beijing pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • China mahu hubungan dengan Korea Selatan kekal stabil dan terus diperkukuh melalui kerjasama berjiran dan manfaat bersama.
  • Zhao Leji menekankan kepentingan memperkukuh komunikasi dan kerjasama dua hala untuk perkembangan hubungan jangka panjang.
  • Lawatan Lee Jae Myung ke Beijing, pertemuan dengan Xi dan Li, dilihat sebagai usaha memulihkan serta memperbaiki hubungan dua hala.

Media rasmi China melaporkan Zhao Leji, iaitu pegawai ketiga tertinggi dalam hierarki kepimpinan China dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan, menyatakan kesediaan Beijing untuk bekerjasama dengan Seoul bagi mengukuhkan persahabatan berjiran dan memperdalam kerjasama saling menguntungkan.

Zhao turut menyuarakan harapan agar hubungan kedua-dua negara berkembang secara stabil untuk jangka panjang, termasuk memperkukuh komunikasi dan kerjasama dua hala.

Lee Jae Myung merupakan pemimpin Korea Selatan pertama melawat Beijing dalam tempoh enam tahun, selepas hubungan kedua-dua negara tegang berikutan pertikaian diplomatik berlarutan.

Pada Isnin, beliau bertemu Presiden China, Xi Jinping, dan kedua-duanya bersetuju mengenai kepentingan keamanan serta kestabilan di Semenanjung Korea selain keperluan memulakan semula dialog dengan Korea Utara.

Lawatan Lee berlangsung selepas operasi ketenteraan Amerika Syarikat di Caracas yang menggulingkan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, tindakan yang dikutuk oleh Beijing dan Pyongyang.

Pada Selasa, Lee turut bertemu Perdana Menteri China, Li Qiang dan menyifatkan usaha memperbaiki hubungan dua hala sebagai trend global yang tidak dapat dielakkan.-AFP