
MANILA, 17 Januari – Lebih banyak mayat ditemukan di bawah timbunan sampah dan struktur keluli yang ranap di sebuah tapak pelupusan sampah yang runtuh di Bandar Cebu, tengah Filipina, menjadikan angka korban keseluruhan kini mencecah 35 orang, lapor Xinhua memetik Biro Perlindungan Kebakaran (BFP) bandar berkenaan pada Sabtu.
- Jumlah korban kini meningkat kepada 35 orang selepas lebih banyak mayat ditemui di tapak runtuhan.
- Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan untuk mengesan seorang lagi pekerja yang hilang.
- Seramai 18 orang berjaya diselamatkan tetapi semuanya mengalami kecederaan.
Pihak berkuasa memaklumkan operasi mencari sedang giat dijalankan bagi mengesan seorang lagi pekerja yang masih hilang.
Kesemua mangsa merupakan antara pekerja yang terperangkap di dalam tapak berkenaan apabila sebahagian daripada tapak pelupusan sampah runtuh pada 8 Jan lepas, lalu menghempap struktur bangunan di laluannya.
“Operasi mencari, menyelamat dan membawa keluar mangsa masih diteruskan dengan pasukan penyelamat meneruskan usaha di lokasi kejadian,” menurut BFP dalam satu hantaran di media sosial.
Pegawai Bandar Cebu berkata seramai 18 orang berjaya diselamatkan dalam insiden itu, namun kesemuanya mengalami kecederaan. – BERNAMA-XINHUA