
ISTANBUL, 19 Mei – Sekurang-kurangnya enam individu terbunuh manakala lapan lagi cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran bandar Mersin di selatan Turkiye pada Isnin.
- Antara mangsa ialah pemilik restoran, pekerjanya, seorang penggembala ternakan dan seorang pemandu lori.
- Insiden berlaku berhampiran Tarsus, mencetuskan operasi memburu polis besar-besaran termasuk penggunaan helikopter.
- Suspek lelaki berusia 37 tahun dilaporkan menembak mati bekas isterinya sebelum keluar untuk membunuh.
Menurut laporan agensi berita DHA dan IHA dua mangsa maut apabila suspek melepaskan tembakan di sebuah restoran, manakala dua lagi mangsa terbunuh di lokasi berasingan sebelum suspek melarikan diri dengan sebuah kenderaan.
Antara mangsa yang terkorban dalam insiden itu ialah pemilik restoran dan seorang pekerjanya, manakala dua lagi mangsa dikenal pasti sebagai seorang penggembala ternakan dan pemandu lori.
Insiden yang berlaku berhampiran Tarsus, kira-kira 40 kilometer di timur laut Mersin, sekali gus mencetuskan operasi memburu besar-besaran oleh polis termasuk menggunakan helikopter bagi mengesan suspek.
Setakat ini, pihak polis dan pegawai berkaitan sedang mengesan suspek lelaki berusia 37 tahun yang dilaporkan menembak mati bekas isterinya sebelum keluar untuk membunuh.
Kejadian itu berlaku kira-kira sebulan selepas dua insiden serangan tembakan melibatkan remaja menggemparkan Türkiye.
Dalam insiden pertama, 16 individu dilaporkan cedera, manakala serangan kedua meragut 10 nyawa, kebanyakannya kanak-kanak sekolah.- AFP