3 maut, 4 masih hilang dalam insiden banjir kilat di wilayah Hubei

Foto REUTERS

WUHAN, 18 Mei – Tiga maut, manakala empat lagi masih hilang selepas banjir kilat menyebabkan sungai melimpah ke sebuah kampung rendah di Daerah Xuan’en, wilayah Hubei di tengah China, menurut pihak berkuasa tempatan pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hujan lebat menyebabkan Sungai Youshui melimpah ke Kampung Baishuihe, memicu banjir kilat di kawasan rendah.
  • 287 penduduk daripada 185 keluarga dipindahkan ke kawasan selamat selepas banjir; operasi pemindahan dilaksanakan dengan segera.
  • Lebih 200 anggota penyelamat dihantar, termasuk lebih 150 yang berjalan kaki beberapa kilometer untuk membantu operasi menyelamat.

Hujan lebat berterusan dari Ahad hingga Isnin melanda lembangan Sungai Youshui di Xuan’en, wilayah Enshi, sekali gus mencetuskan banjir kilat dan menyebabkan sungai itu melimpah ke Kampung Baishuihe yang terletak di kawasan rendah.

Jumlah taburan hujan di salah satu kawasan hulu sungai dilaporkan mencecah 253.4 milimeter dalam tempoh dua hari.

Kampung itu mempunyai kira-kira 800 penduduk tetap dan pihak berkuasa tempatan segera melaksanakan operasi pemindahan selepas banjir melanda pada awal pagi Isnin.

Seramai 287 penduduk daripada 185 keluarga berjaya dipindahkan ke kawasan selamat.

Bencana itu turut menyebabkan jalan raya, telekomunikasi dan bekalan elektrik di kawasan berkenaan terputus.

Lebih 200 anggota penyelamat termasuk polis, petugas pengurusan kecemasan, bomba dan pekerja bekalan elektrik telah dihantar ke kampung itu bersama telefon satelit, kayak dan pelbagai peralatan bantuan kecemasan lain.

Daripada jumlah itu, lebih 150 anggota penyelamat tiba selepas berjalan kaki sejauh beberapa kilometer dari kampung lain bagi membantu operasi menyelamat.

Sementara itu, hujan lebat turut melanda Daerah Shimen di wilayah Hunan di tengah China bermula jam 7 pagi Ahad, menyebabkan seorang maut dan dua lagi hilang setakat petang Isnin.

Pihak berkuasa di Shimen kini giat menjalankan operasi pemindahan, menyelamat dan pembaikan infrastruktur dengan seramai 18,406 penduduk telah dipindahkan ke lokasi selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.