
DUBLIN, 19 Mei – Adik kepada Presiden Ireland Catherine Connolly, Margaret Connolly antara lapan warga Ireland yang dipintas rejim Zionis Israel ketika kapal flotilla bantuan kemanusiaan menuju ke Gaza.
- Kapal Global Sumud Flotilla dipintas selepas berlepas dari Turkiye, menurut penganjur.
- Penganjur dakwa rejim Israel melakukan rampasan ganas dan menahan sukarelawan secara tidak sah.
- Ketegangan diplomatik meningkat, Israel tutup kedutaan di Dublin dan menuduh Ireland mengamalkan dasar anti-Israel melampau.
Menurut penganjur pada Isnin, kapal yang membawa Margaret Connolly dipintas tentera rejim Zionis selepas ia belayar dari Turkiye minggu lalu. Kapal Global Sumud Flotilla itu merupakan antara beberapa usaha dilakukan aktivis antarabangsa bagi menembusi sekatan Israel ke atas wilayah Palestin tersebut.
Kira-kira 50 kapal dilaporkan berlepas dari barat daya Turkiye pada Khamis lalu. “Global Sumud Flotilla sedang diserang!” menurut kenyataan kumpulan itu di platform X.
Mereka turut mendakwa Israel sekali lagi “memintas secara ganas dan menyalahi undang-undang” kapal bantuan kemanusiaan antarabangsa serta menahan sukarelawan yang berada di atas kapal.
Menurut kenyataan dihantar kepada AFP, Margaret Connolly, seorang doktor warga Ireland yang juga adik kepada Presiden Ireland Catherine Connolly, antara individu yang didakwa “diculik secara tidak sah pihak Israel.
“Lapan warga Ireland telah ditahan secara tidak sah dalam operasi ini,” menurut kenyataan itu.
Presiden Connolly yang sedang dalam lawatan rasmi ke United Kingdom berkata beliau amat bimbang dengan keselamatan adiknya serta sukarelawan lain yang berada di atas kapal tersebut.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan King Charles III di London.
Rakaman video yang dimuat naik penganjur di media sosial menunjukkan Connolly bersama lima individu lain dipercayai dirakam sebelum mereka ditahan.
Dalam video tersebut, Margaret Connolly berkata, “Jika anda menonton video ini, bermakna saya telah diculik dari kapal flotila.”
Penganjur turut menegaskan penyertaan beliau dalam flotilla itu adalah atas keputusan peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan Presiden Ireland.
Ireland antara negara paling lantang mengkritik serangan Israel di Gaza serta mengiktiraf negara Palestin pada 2024.
Susulan itu, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, mengarahkan penutupan kedutaan Israel di Dublin dengan mendakwa Ireland mengamalkan “dasar anti-Israel yang melampau”.
Tahun lalu, Saar turut mendakwa Dublin telah menjadi “ibu kota antisemitisme dunia” ketika mengkritik cadangan Majlis Bandaraya Dublin untuk menukar nama taman yang dinamakan sempena Chaim Herzog, yang dilahirkan di Ireland.- AFP