
KUALA LUMPUR, 12 Januari – Peminat muzik metal dan punk bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa menerusi festival antarabangsa ‘METALVERSE’ yang akan berlangsung selama dua hari bermula 30 April ini di Megastar Arena Kuala Lumpur, bermula pukul 3.00 petang hingga 12.00 tengah malam.
- Festival METALVERSE dua hari di Megastar Arena pada 30 April, meraikan komuniti metal dan punk dengan tenaga dan kebersamaan.
- Dianjurkan oleh Vox Nation Live untuk mengisi kekosongan festival berskala besar fokus genre metal dan punk di Malaysia.
- Artis antarabangsa termasuk Of Mice & Men dan Blessthefall disahkan, dua kumpulan indie jemputan turut tampil.
- Pengalaman profesional dengan produksi pentas, bunyi berkualiti dan susun atur mesra penonton, mempromosi KL sebagai destinasi muzik berat.
Dianjurkan oleh Vox Nation Live, festival itu diwujudkan bagi meraikan budaya metal dan punk sebagai sebuah komuniti global yang penuh tenaga serta kebersamaan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shawn Chang, ‘METALVERSE’ hadir untuk mengisi kekosongan festival berskala besar yang benar-benar memfokuskan genre berkenaan di Malaysia.
“Walaupun Malaysia mempunyai komuniti metal dan punk yang sangat bersemangat serta berpengetahuan, festival berskala besar yang benar-benar memberi fokus kepada genre ini masih jarang.
“Metal dan punk bukan sekadar muzik, ia adalah budaya. METALVERSE diwujudkan untuk memberi platform dan penghormatan yang sewajarnya kepada komuniti ini, sambil menghubungkan peminat tempatan dengan ekosistem metal dan punk global,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Antara artis antarabangsa yang telah disahkan termasuk ‘Of Mice & Men’ dan ‘Blessthefall’, yang terkenal dengan persembahan bertenaga serta pengaruh besar dalam arena metal moden.
Dua kumpulan indie jemputan khas, ‘Midnight Fusic’ dan ‘Spooky Wet Dreams’, turut bakal menghangatkan pentas.
Barisan artis tempatan pula akan diumumkan lebih hampir dengan tarikh festival sebagai usaha memberi tumpuan dan momentum kepada bakat tempatan.
‘METALVERSE’ menjanjikan pengalaman menyeluruh dengan produksi pentas profesional, sistem bunyi berkualiti tinggi dan susun atur mesra penonton, sekali gus meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi penting untuk peminat muzik berat di rantau ini.