
KUALA LUMPUR, 10 Januari — Beberapa pengguna media sosial berkongsi rasa gusar apabila menerima emel permintaan penetapan semula kata laluan (reset password) akaun Instagram berulang kali dalam tempoh singkat sejak minggu lalu.
- Pengguna terima berulang emel reset kata laluan Instagram, menimbulkan kebimbangan.
- Ada laporan kehilangan akses dan pertukaran nama pengguna, menunjukkan pencerobohan akaun.
- Firma Malwarebytes dakwa 17.5 juta akaun dicuri termasuk data peribadi sensitif.
Malah ada yang kehilangan akses sepenuhnya apabila nama pengguna bertukar kepada individu lain, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya pencerobohan akaun.
Perkongsian di platform Threads menunjukkan ada pengguna menerima antara dua hingga lapan emel reset kata laluan dalam masa beberapa hari walaupun tidak membuat sebarang permintaan.
Manakala seorang pengguna mendakwa akaun rakannya hilang apabila nama pengguna bertukar dan tidak lagi boleh log masuk.
Selain itu, firma keselamatan siber Malwarebytes mendakwa penjenayah siber telah mencuri maklumat sensitif melibatkan 17.5 juta akaun Instagram, termasuk nama pengguna, alamat fizikal, nombor telefon, alamat emel dan pelbagai data peribadi lain.
“Minggu lepas ada permintaan tukar kata laluan, ingatkan untuk keselamatan akaun. Tiba-tiba hari ini nama pengguna dah jadi orang lain dan terus tak boleh log masuk,” kongsi @nratyqah.
Dia juga meminta bantuan orang ramai untuk mendapatkan semula akaun berkenaan.

Seorang lagi pengguna, @shafinaz_nana,berkata menerima sehingga lapan emel permintaan penetapan kata laluan dalam tempoh dua hari, manakala @cikyusnida pula berkata dia menerima beberapa notifikasi penetapan kata laluan dalam tempoh tiga hari walaupun tidak berbuat demikian.
Kebimbangan turut disuarakan oleh @aimanunofficial yang mempersoalkan sama ada wujud cubaan penggodaman berskala besar apabila mendakwa ramai pengguna menerima emel penetapan kata laluan Instagram pada masa yang sama.
Bagaimanapun, beberapa pengguna lain menasihatkan agar emel berkenaan diabaikan selagi pautan ‘reset password’ tidak diklik, selain mengesyorkan pengaktifan pengesahan dua faktor (2FA) serta penukaran kata laluan terus melalui aplikasi rasmi.
Instagram antara platform media sosial terbesar dunia dengan kira-kira tiga bilion pengguna di seluruh dunia.