- BTS mengumumkan jelajah dunia bermula April 2026, menandakan kemunculan semula selepas empat tahun rehat.
- Jelajah meliputi 34 bandar dan 79 persembahan, menjadikannya jelajah tunggal terbesar dalam sejarah K-pop.
- Album baharu dilancarkan 20 Mac sebelum jelajah; HYBE melihat kenaikan saham dan BTS terus kukuhkan fenomena global.

SEOUL, 14 Januari – Kumpulan K-pop sensasi dunia, BTS, akan memulakan jelajah dunia baharu bermula April ini, menurut pengumuman label mereka pada Rabu, menandakan kemunculan semula rasmi kumpulan itu selepas empat tahun.
Kumpulan muzik paling berpengaruh Korea Selatan itu berada dalam tempoh rehat sejak 2022 apabila kesemua ahlinya menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib.
Ketujuh-tujuh anggota BTS telah selesai berkhidmat tahun lalu dan mengumumkan kemunculan semula pada musim bunga 2026.
Jelajah dunia berkenaan akan merangkumi 34 bandar dengan keseluruhan 79 persembahan, menjadikannya jelajah tunggal terbesar dalam sejarah K-pop dari segi jumlah konsert.
Jelajah pertama BTS dalam tempoh empat tahun itu akan bermula di Goyang, Korea Selatan pada 9 April, diikuti dua lagi persembahan di negara asal mereka sebelum bergerak ke Jepun, menurut kenyataan label tersebut.
BTS kemudiannya akan meneruskan jelajah ke Amerika Syarikat dan Eropah, sebelum menamatkan siri jelajah itu di Manila pada Mac 2027.
Label BTS turut memaklumkan lebih banyak bandar akan diumumkan, termasuk lokasi tambahan di Jepun dan Asia Barat.
Pengumuman itu dibuat selepas agensi BTS, HYBE, dengan mengesahkan kumpulan tersebut akan melancarkan album baharu pada 20 Mac, sebelum memulakan jelajah dunia.
Album berkenaan merupakan karya penuh pertama BTS sejak album antologi Proof, yang muncul sebagai album terlaris Korea Selatan pada 2022.
Susulan pengumuman tersebut, saham HYBE meningkat sekitar tiga peratus pada pembukaan dagangan pasaran pada Rabu.
Sebelum menjalani perkhidmatan ketenteraan, BTS menjana lebih 5.5 trilion won (AS$3.7 bilion) setahun kepada ekonomi Korea Selatan, menurut Institut Kebudayaan dan Pelancongan Korea yang disokong kerajaan, bersamaan kira-kira 0.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu.
BTS terus mengukuhkan status sebagai fenomena muzik global, termasuk memegang rekod sebagai kumpulan paling banyak distrim di Spotify, serta menjadi artis K-pop pertama menduduki tangga teratas carta Billboard 200 dan Billboard Artist 100 di Amerika Syarikat.- AFP