Biosolid ‘harta terbiar’ alternatif hadapi krisis bekalan baja global

Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Biosolid ialah enap cemar kumbahan yang telah dirawat dan distabilkan, sesuai digunakan sebagai baja apabila memenuhi piawaian keselamatan.
  • Sumber biosolid besar dan kurang dimanfaatkan; nilai nutrien dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit setahun.
  • Biosolid memperbaiki struktur tanah, meningkatkan bahan organik, kapasiti simpanan air tanah dan merangsang mikroorganisma tanah.
  • Halangan termasuk persepsi awam, kebimbangan patogen dan logam berat serta isu logistik; rawatan moden dan inovasi boleh atasi.

Ketegangan geopolitik di Asia Barat serta sekatan di Selat Hormuz memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan baja kimia global.

Pergantungan Malaysia terhadap import baja, khususnya yang berasaskan nitrogen dan fosforus, menjadikan sektor pertanian negara terdedah kepada turun naik harga dan gangguan bekalan.

Kenyataan serta dapatan oleh Indah Water Konsortium (IWK) yang mengetengahkan biosolid sebagai alternatif kepada baja kimia wajar diberi perhatian serius dalam konteks keselamatan makanan negara.

Dalam situasi krisis bekalan baja global, kita tidak boleh terus bergantung sepenuhnya kepada sumber import. Malaysia sebenarnya mempunyai “sumber dalaman” yang besar tetapi kurang dimanfaatkan, iaitu biosolid daripada loji rawatan kumbahan.

Apa itu Biosolid?

Biosolid ialah enap cemar kumbahan (sewage sludge) yang telah dirawat dan distabilkan melalui pelbagai proses seperti pengeringan, pengkomposan atau penstabilan kimia, serta memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Hanya selepas mencapai tahap ini, bahan tersebut sesuai digunakan, contohnya sebagai baja atau penambah baik tanah dalam pertanian.

Potensi Biosolid

Setiap individu di Malaysia menyumbang kepada penghasilan biosolid setiap hari melalui sistem pembetungan negara. Namun, sebahagian besar biosolid masih belum dimanfaatkan secara optimum sebagai input alternatif dalam pembajaan pertanian.

Penggunaan biosolid bukan sahaja berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia import, malah mampu menjana penjimatan besar kepada negara. Kos pengurusan sisa juga boleh ditukar menjadi peluang ekonomi melalui pendekatan ekonomi kitaran.

Selain itu, biosolid mempunyai kelebihan dalam penambahbaikan struktur tanah. Kandungan bahan organik yang tinggi membantu meningkatkan keupayaan pegangan air tanah, mengurangkan hakisan, serta merangsang aktiviti mikroorganisma

Ia merujuk mikroorganisma yang penting untuk kesihatan tanah dalam jangka panjang.

Persepsi Masyarakat

Walaupun potensinya besar, penggunaan biosolid masih belum diterima sepenuhnya di banyak negara termasuk Malaysia. Antara faktor utama ialah persepsi awam yang mengaitkan biosolid dengan sisa kumbahan yang dianggap kotor dan berisiko kepada kesihatan.

Kebimbangan terhadap kehadiran patogen, logam berat dan bahan pencemar seperti farmaseutikal turut menjadi penghalang utama.

Walaupun teknologi rawatan moden mampu menangani isu ini, kekurangan pemahaman saintifik dalam kalangan masyarakat dan pengusaha pertanian menyebabkan dilema ini terus berlarutan.

Dari sudut praktikal, isu logistik seperti kos pengangkutan, bau, serta bentuk fizikal biosolid yang kurang mesra pengguna berbanding baja komersial turut membataskan penggunaannya secara meluas.

Namun begitu, melalui pendekatan berasaskan sains, pemantauan ketat serta inovasi teknologi seperti penghasilan biosolid dalam bentuk pelet atau diperkaya, kekangan ini boleh diatasi secara berperingkat.

Aplikasi Biosolid Dalam Pertanian

Penggunaan biosolid dalam sektor pertanian telah diamalkan secara meluas di negara maju seperti Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada.

Di Australia, sebahagian besar biosolid dimanfaatkan sebagai baja dan penambah struktur tanah untuk tanaman seperti gandum, barli dan padang ragut.

Di United Kingdom serta negara-negara Eropah lain, aplikasi biosolid melalui teknik land spreading merupakan kaedah utama pengurusan sisa ini.

Amalan ini meningkatkan kesuburan tanah serta menggalakkan kitaran nutrien yang penting untuk pertumbuhan tanaman.

Di Amerika Syarikat, kira-kira 53 peratus biosolid dimanfaatkan secara produktif untuk pelbagai kegunaan, termasuk sebagai bahan pembaikan tanah dan baja dalam sektor pertanian.

Tanaman seperti jagung dan gandum menunjukkan manfaat jelas daripada penggunaan biosolid, sekali gus membuktikan bahan ini bukan sekadar dilupuskan tetapi dikitar semula dalam sistem pengeluaran makanan.

Pendekatan ini mencerminkan sistem kitar semula nutrien yang lebih lestari dalam pengurusan sisa, seperti dilaporkan oleh National Biosolids Data Project.

Sebagai contoh, peraturan seperti EPA 40 CFR Part 503 di Amerika Syarikat menetapkan piawaian ketat bagi kandungan logam berat, patogen dan kaedah aplikasi.

Secara keseluruhannya, pengalaman negara-negara ini menunjukkan bahawa penggunaan biosolid dalam pertanian adalah selamat, berkesan dan mampan apabila diuruskan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Beberapa kajian juga telah dijalankan di Malaysia, khususnya yang mengaplikasikan teknik fitoremediasi, iaitu penggunaan spesies pokok hutan terpilih yang diberikan biosolid sebagai sumber alternatif baja.

Hasil kajian menunjukkan pertumbuhan pokok yang baik, di samping teknik ini berpotensi sebagai kaedah lestari untuk menyerap logam berat dalam tanah.

‘Harta Terbiar’ Bernilai Ratusan Juta

IWK mengeluarkan kira-kira 120,000 tan enap cemar kumbahan (biosolid) setiap tahun. Di kawasan Lembah Klang sahaja, loji rawatan kumbahan menghasilkan sekitar 200 tan biosolid setiap hari.

Selain itu, IWK turut memproses biosolid ini kepada baja organik pada kadar kira-kira empat hingga lima tan sehari.

Lebih menarik, nilai ekonomi nutrien ini dianggarkan mencecah RM83 juta hingga RM125 juta setahun berdasarkan harga pasaran baja global semasa.

Dalam erti kata lain, negara berisiko “membuang” lebih RM100 juta setahun sekiranya biosolid terus tidak dimanfaatkan secara strategik.

Biosolid merupakan “harta terbiar” yang mempunyai nilai ekonomi dan agronomi yang tinggi.

Persoalannya kini bukan lagi sama ada kita mampu menggunakannya, tetapi sama ada kita bersedia untuk mengubah cara kita melihat sumber ini.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Prof. Madya Dr. Daljit Singh Karam
Jabatan Pengurusan Tanah
Fakulti Pertanian
Universiti Putra Malaysia
E-mel: daljitsingh@upm.edu.my