
ULASAN BERITA
- Pujian Narendra Modi menghargai komitmen PMX melaksanakan agenda pembaharuan dan kepimpinan reformisnya di peringkat antarabangsa.
- Lawatan rasmi mengukuh hubungan Malaysia–India serta menambah kerjasama strategik dalam perdagangan, pendidikan dan teknologi.
- Penghargaan Modi memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang komited kepada pembaharuan, kestabilan politik dan tarikan pelaburan.
Kunjungan Perdana Menteri India, Narendra Modi ke Malaysia minggu lalu masih lagi segar dalam ingatan.
Beliau memenuhi janji untuk berkunjung ke negara ini selepas tidak dapat berbuat demikan untuk Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, tahun lalu.
Lawatan ini adalah signifikan kerana ia lawatan rasmi pertama Modi ke Malaysia dalam tempoh hampir sedekad sejak 2015.
Iaitu tahun di mana hubungan dua hala dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Ogos 2024.
Selain meningkatkan hubungan dua hala, kunjungan ini juga memupuk kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.
Berteraskan asas persahabatan yang kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957.
Mengimbas kembali lawatan rasmi selama dua hari itu, beberapa hal menarik boleh dikongsi bersama.
Antaranya, pujian pemimpin utama India itu terhadap komitmen Perdana Menteri dalam melaksanakan agenda pembaharuan.
Beliau memuji ketajaman intelektual serta kewibawaan PMX menerajui Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun lalu.
Bahkan, kejelasan visi reformasi yang dibawa serta keupayaan PMX memimpin Malaysia memperkukuh peranan negara di pentas serantau dan global.
Modi menyifatkan Perdana Menteri sebagai tokoh reformis yang konsisten serta diyakini rakan-rakan global.
Semasa berucap pada Program Bersama Komuniti India di Serdang, Modi turut memuji keupayaan PMX memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk.
Termasuk peranan komuniti berketurunan India di Malaysia yang disifatkannya sebagai ‘jambatan hidup’ kedua-dua negara.
Ini sekali gus menjadi salah satu kekuatan terbesar hubungan bilateral.
Kata Modi, Malaysia mempunyai komuniti berketurunan India kedua terbesar di dunia dan banyak perkara yang menghubungkan masyarakat kedua-dua negara.
India dan Malaysia juga disatukan oleh kecintaan terhadap bahasa dan budaya Tamil.
Sebagai rakyat Malaysia yang hidup harmoni dalam masyarakat majmuk, kita wajar menyambut baik penghargaan dizahirkan Modi.
Pujian itu boleh dilihat sebagai lambang pembaharuan dalam hubungan dua hala serta pendekatan kepimpinan Datuk Seri Anwar di rantau Asia.
Modi dikenali sebagai seorang pemimpin yang menitikberatkan pembangunan ekonomi, transformasi digital dan pengukuhan identiti nasional India di persada dunia.
Apabila beliau menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan negara, ia mencerminkan pengiktirafan terhadap usaha pembaharuan yang dibawa PMX dalam pentadbiran Malaysia.
Pujian tersebut seolah-olah mengesahkan bahawa pendekatan reformasi yang diperjuangkan bukan sahaja mendapat sokongan domestik, malah dihormati pemimpin antarabangsa.
Selain itu, penghargaan Modi melambangkan pembaharuan dalam hubungan Malaysia–India.
Ya, kedua-dua negara mempunyai sejarah hubungan yang panjang.
Terutama dalam bidang perdagangan, pendidikan dan kebudayaan.
Pengiktirafan terbuka pemimpin ini memberi isyarat bahawa hubungan dua hala kini bergerak ke arah yang lebih dinamik dan progresif.
Sokongan moral daripada pemimpin luar seperti Modi bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelabur dan komuniti antarabangsa.
Malah memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang komited terhadap pembaharuan dan kestabilan politik.
Pujian Modi terhadap PMX bukan sekadar kata-kata diplomatik.
Tetapi boleh ditafsirkan sebagai simbol pembaharuan dalam kepimpinan dan hubungan antarabangsa.
Ia mencerminkan keyakinan terhadap agenda reformasi yang dibawa serta membuka lembaran baharu dalam kerjasama Malaysia–India.
Modi melihat pendekatan reformasi Datuk Seri Anwar sebagai selari dengan aspirasi pembangunan mampan dan kerjasama strategik antara negara membangun.
Dalam konteks hubungan dua hala India–Malaysia, kepimpinan yang stabil dan berpandangan jauh dianggap penting, bagi memperkukuh kerjasama ekonomi, perdagangan, pendidikan dan teknologi.
Pujian Modi juga mencerminkan keyakinan bahawa pembaharuan yang dilaksanakan PMX mampu mewujudkan persekitaran serantau yang lebih makmur dan seimbang.
Kesimpulannya, penghargaan Modi terhadap Datuk Seri Anwar bukan sekadar penghormatan peribadi.
Tetapi satu pengiktirafan terhadap usaha pembaharuan yang sedang dilaksanakan di Malaysia.
Ia menjadi dorongan kepada kepimpinan negara untuk terus melaksanakan reformasi secara konsisten demi kesejahteraan rakyat.
Seterusnya mengangkat kedudukan Malaysia di persada dunia.
Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Nik Hafizul Baharuddin.