fb fb fb fb fb

Weststar, MBSB komited perluas industri aeroangkasa, buka peluang pekerjaan bergaji tinggi

Foto RTM

SUBANG, 3 Oktober - Kumpulan Weststar dan MBSB Bank Bhd (MBSB) hari ini memeterai kemudahan pembiayaan Islam bersindiket berjumlah RM4.8 bilion, dengan MBSB menyediakan RM1.3 bilion bagi memacu pengembangan operasi penerbangan syarikat itu.

Majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) diadakan di Weststar Aviation Services, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, membuka laluan kepada penyelesaian pembiayaan, usaha niaga pelaburan dan struktur kewangan inovatif bagi menyokong pertumbuhan terpelbagai Weststar.

Kemudahan bersindiket itu diuruskan bersama oleh MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) dengan sokongan empat bank lain, di mana MBSB IB bertindak sebagai pengatur utama bersama.

Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim berkata, kekuatan kumpulan itu terletak pada kemampuan untuk berinovasi, mempelbagaikan dan menyesuaikan diri dengan permintaan ekonomi global.

“Industri penerbangan mencipta pekerjaan bergaji tinggi seperti jurutera dan juruterbang dan dengan sokongan bank seperti MBSB, kami komited memperluas industri aeroangkasa di Malaysia serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat,” katanya pada majlis pemeteraian itu.

Sementara itu, Pengerusi MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad berkata, aeroangkasa dan penerbangan merupakan pengganda pertumbuhan yang menghubungkan Malaysia kepada rantaian bekalan global, koridor tenaga, dan industri masa depan.

"Kepentingan perniagaan Weststar merangkumi penerbangan, automotif, pertahanan, pembinaan, hartanah, insurans, teknologi komunikasi dan maklumat, makanan dan minuman, serta tenaga boleh baharu", katanya. 

Trainee