Palestin : Pilihan raya legislatif tidak diadakan pada November

Pilihan raya di Palestin pada 26 April 2026/ AFP

RAMALLAH, 10 September – Pilihan raya legislatif Palestin yang dijadualkan berlangsung pada akhir November ini tidak akan diadakan mengikut jadual.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rajoub: pilihan raya hanya diteruskan selepas dialog nasional Palestin menyeluruh untuk mencapai kata sepakat mengenai mekanisme pelaksanaan.
  • Pilihan raya Presiden wajar diadakan terlebih dahulu kerana lebih mudah, kurang kos dan mampu menyelesaikan sebahagian besar kemelut.
  • Majlis Perundangan Palestin tidak bersidang sejak 2007; pilihan raya legislatif terakhir pada 2006 dimenangi Hamas.
  • Abbas mengeluarkan dekri menetapkan pilihan raya Presiden pada awal 2027, manakala penamaan calon dijadualkan 26 Sept hingga 7 Okt.

Setiausaha Agung Fatah, Jibril Rajoub pada Khamis berkata, pilihan raya hanya akan diteruskan selepas dialog nasional Palestin secara menyeluruh diadakan bagi mencapai persetujuan mengenai mekanisme pelaksanaannya.

“Tiada pilihan raya akan diadakan. Kita akan meneruskan proses pilihan raya selepas mengadakan dialog nasional Palestin secara menyeluruh bagi mencapai kata sepakat mengenai mekanisme pelaksanaannya,” katanya kepada pemberita di sini.

Rajoub, daripada parti Fatah yang dipimpin Presiden Palestin Mahmoud Abbas, 90, berkata pilihan raya Presiden wajar diadakan terlebih dahulu kerana langkah itu mampu menyelesaikan sebahagian besar kemelut yang dihadapi.

“Pilihan Raya Presiden lebih mudah, kurang memerlukan kos dan boleh dilaksanakan berdasarkan persetujuan bersama,” katanya.

Pilihan raya legislatif terakhir di wilayah Palestin berlangsung pada 2006, yang menyaksikan Hamas memenangi pilihan raya dan menewaskan Fatah, parti yang menguasai Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadbir sebahagian kawasan di Tebing Barat.

Susulan itu, Majlis Perundangan Palestin, yang berfungsi sebagai parlimen PA, tidak lagi bersidang sejak 2007.

Abbas pula terus memegang jawatan selepas tempoh pemerintahannya berakhir pada 2009 dan sejak itu mentadbir melalui dekri.

Pilihan raya legislatif Palestin sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 28 November, lebih sebulan selepas Pilihan Raya Umum Israel.

Pada Jun lalu, Abbas mengeluarkan dekri undang-undang bagi menetapkan pilihan raya Presiden diadakan pada awal 2027.

Menurut Rajoub, setakat ini tiada senarai calon yang benar-benar serius dibentuk untuk menyertai pilihan raya.

Tempoh penamaan calon dijadualkan bermula 26 September dan berakhir pada 7 Oktober.

Pesaing Fatah, termasuk Hamas dan Democratic Reform Current, sebuah kumpulan pecahan Fatah, sebelum ini menyatakan hasrat untuk membentuk senarai calon bersama bagi pilihan raya berkenaan.

Pelaksanaan pilihan raya merupakan antara tuntutan pembaharuan masyarakat antarabangsa, termasuk Kesatuan Eropah (EU), yang memberikan sokongan kewangan kepada Pihak Berkuasa Palestin yang berpangkalan di Ramallah.

Pada 15 Januari 2021, Abbas pernah mengumumkan pilihan raya legislatif dan Presiden masing-masing diadakan pada Mei dan Julai tahun sama.

Bagaimanapun, pilihan raya itu akhirnya ditangguhkan tanpa tarikh baharu berikutan ketiadaan jaminan bahawa proses pengundian boleh dilaksanakan di Baitulmaqdis Timur.

Abbas memenangi pilihan raya Presiden Palestin terakhir pada 2005, manakala tempoh pemerintahannya sepatutnya berakhir pada 2009.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.