
PUTRAJAYA, 10 September – Persiapan penganjuran Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini mencapai 80 peratus, dengan kerja-kerja menaik taraf fasiliti dan persiapan operasi giat dilaksanakan mengikut garis masa penganjuran.
- Kerja naik taraf fasiliti berjalan lancar mengikut garis masa dan mematuhi keperluan pengurusan F1 serta FIA.
- SIC ditutup kepada orang ramai sejak 7 September bagi memberi laluan kerja naik taraf dan menghentikan sementara aktiviti serta penyewaan.
- KBS mengenal pasti 500 sukarelawan untuk direkrut dan akan diberikan latihan sebelum penganjuran.
- Latihan sukarelawan penting supaya mereka faham peranan dan membantu kelancaran operasi sepanjang acara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata kerja-kerja naik taraf ketika ini berjalan lancar bagi memastikan SIC memenuhi semua piawaian yang telah ditetapkan.
“Untuk proses naik taraf, kita berada di landasan yang baik mengikut garis masa yang ditetapkan serta mematuhi semua keperluan yang ditetapkan oleh pengurusan F1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai program KBS Tower Run di sini hari ini.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa ketika ini SIC ditutup kepada orang ramai sejak 7 September bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf fasiliti, termasuk menghentikan sementara semua aktiviti dan penyewaan di litar berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut memberi tumpuan kepada kesiapsiagaan tenaga sukarelawan, dengan 500 sukarelawan sedang dikenal pasti untuk direkrut sebelum menjalani latihan.
“Pasukan sukarelawan seramai 500 orang yang kita rekrut sedang dikenal pasti dan akan kita diberikan latihan supaya mereka lebih bersedia menghadapi penganjuran F1 kali ini,” katanya.
Latihan berkenaan penting bagi memastikan sukarelawan memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing, sekali gus membantu kelancaran operasi sepanjang berlangsungnya acara berkenaan.
Secara keseluruhan persiapan SIC kini diteruskan mengikut perancangan bagi memastikan litar berkenaan berada pada tahap terbaik sebelum membuka pintunya kepada peminat serta pasukan F1.