Sukan Asia : KBS perketat pemantauan banjir di Nagoya

Dr Mohammed Taufiq Johari

PUTRAJAYA, 10 September – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperketat pemantauan situasi banjir di Nagoya, Jepun bagi memastikan keselamatan dan kebajikan kontinjen negara terjamin menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS berhubung rapat dengan kerajaan Jepun dan penganjur untuk pastikan penginapan, perjalanan dan persiapan kontinjen terkawal.
  • SOP bencana khusus banjir telah dikeluarkan; mesyuarat dan pelan tindakan disediakan untuk menghadapi sebarang kekurangan atau ketidaktentuan.
  • Pemantauan cuaca dan risiko bencana diteruskan sepanjang tempoh di Jepun; sebarang perkembangan segera disalurkan kepada kontinjen untuk tindakan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, KBS kini berhubung rapat dengan kerajaan Jepun dan pihak penganjur bagi mendapatkan perkembangan terkini, khususnya berkaitan penginapan, pergerakan serta persiapan kontinjen Malaysia.

“Kita sentiasa berhubung dengan kerajaan Jepun dan pihak penganjur bagi memastikan tiada sebarang kekurangan yang boleh mengganggu kontinjen dan atlet kita, sama ada dari segi penginapan, perjalanan mahupun penganjuran program.

“Maklum balas yang diterima ketika ini semuanya dalam keadaan baik dan terkawal. Mereka juga mempunyai pelan integrasi bencana termasuk menghadapi kemungkinan banjir, namun semuanya bergantung kepada perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai program KBS Tower Run di Menara KBS, di sini.

KBS turut mengambil langkah awal dengan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bencana, khususnya berkaitan banjir, selain mengadakan perbincangan dan merangka pelan tindakan sekiranya berlaku perubahan keadaan atau gangguan terhadap kontinjen negara.

“Kita telah mengeluarkan SOP bencana, khususnya bencana banjir untuk semua atlet dan kontinjen kita. Kita juga telah mengadakan mesyuarat serta menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi sebarang kekurangan atau ketidaktentuan yang berlaku di sana,” katanya.

Pemantauan akan diteruskan secara berterusan sepanjang tempoh kontinjen Malaysia berada di Jepun, dengan aspek cuaca dan risiko bencana menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian.

KBS juga akan memastikan sebarang perkembangan baharu dapat disalurkan dengan segera kepada kontinjen bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil sekiranya keadaan memerlukan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.