fb fb fb fb fb

UEM Lestra ambil alih 51 peratus kepentingan NUR Power

UEM Lestra Bhd, anak syarikat UEM Group Bhd, telah mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam NUR Power Sdn Bhd / Foto RTM

KULIM, 30 Ogos - UEM Lestra Bhd, anak syarikat UEM Group Bhd, telah mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam NUR Power Sdn Bhd, sebuah syarikat utiliti tenaga bebas (IPU).

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad berkata penglibatan itu merupakan langkah strategik berdasarkan potensi penciptaan nilai dan keupayaan operasi NUR Power yang boleh dikembangkan.

"Pemilikan majoriti ini adalah sebahagian daripada komitmen RM1.5 bilion yang diperuntukkan UEM Lestra untuk dilaburkan dalam tempoh 24 bulan akan datang bagi usaha dekarbonisasi taman industri di Malaysia," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Harman, pengambilalihan tersebut dijangka merancakkan pelaburan tempatan, menjana peluang pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara.

UEM Lestra berhasrat untuk menambahbaik dan mengembangkan lagi operasi syarikat tempatan seperti NUR Power dengan fokus kepada dekarbonisasi di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) sebelum diperluas ke taman industri lain di seluruh Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN