fb fb fb fb fb

Program penskalaan PMKS perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan 2026

Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Program penskalaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam industri berimpak tinggi, khususnya sektor elektrik dan elektronik perlu diberi fokus dalam Belanjawan 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, ekosistem yang lebih kukuh akan membuka lebih banyak peluang kepada PMKS untuk meningkatkan jualan dan operasi, sekali gus melonjakkan keupayaan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Kami mengharapkan dengan adanya fokus kepada penskalaan, kita dapat melihat peningkatan PMKS daripada mikro ke kecil, daripada kecil ke sederhana, dan daripada sederhana ke tahap yang lebih tinggi."

“Justeru, program pembangunan dan peningkatan skala PMKS amat diperlukan bagi mengenal pasti profil-profil syarikat yang wajar disasarkan,” katanya kepada pemberita RTM.

Tambahnya, perkembangan positif PMKS akan menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkatkan nilai eksport negara, di samping mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Bagi memperkasakan peranan PMKS, SME Corp turut mengemukakan beberapa cadangan inisiatif baharu untuk dipertimbangkan di bawah Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan 10 Oktober ini.

Inisiatif yang digariskan itu selari dengan sasaran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk meningkatkan bilangan firma bersaiz sederhana dalam komposisi PMKS, daripada 1.6 peratus kepada lima peratus menjelang 2030.

Belanjawan 2026 merupakan siri keempat Belanjawan MADANI yang dirangka untuk memulihkan daya tahan fiskal, memperkukuh asas ekonomi serta mengangkat taraf hidup rakyat.

Ia juga belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang berlandaskan tiga tonggak utama Ekonomi MADANI.

MOHD NORIZWAN BIN SAMAN