fb fb fb fb fb

Pasaran getah ditutup bercampur-campur

 KUALA LUMPUR, 7 Disember - Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis berikutan pemulihan harga minyak mentah, ringgit yang lebih rendah berbanding dolar AS serta sentimen bercampur-campur dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata kenaikan seterusnya telah dikekang oleh sentimen global yang terjejas ekoran ketidaktentuan mengenai kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi China.

“Niaga hadapan getah Jepun merosot pada Khamis, dipengaruhi oleh yen yang lebih kukuh dan harga minyak mentah yang lemah.

“Sementara itu, harga minyak mentah kembali mendapat asas pergerakan selepas susut kepada paras terendah dalam tempoh enam bulan, memandangkan mesyuarat antara pemimpin Rusia dan Arab Saudi membincangkan ‘kerjasama’ lanjut mengenai harga minyak,” katanya.

Beliau berkata walau bagaimanapun, pelabur kekal bimbang mengenai permintaan suram dan kelembapan ekonomi di AS dan China.

Beliau turut berkongsi data daripada Pentadbiran Kastam yang menunjukkan imbangan perdagangan China semakin meningkat daripada yang dijangkakan pada November.

Hal itu didorong oleh kenaikan eksport iaitu 0.5 peratus, walaupun penurunan import yang tidak dijangkakan sebanyak 0.6 peratus masih menunjukkan kelemahan berterusan dari segi permintaan tempatan, katanya.

Harga rujukan bagi getah fizikal oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 4.5 sen kepada 659.5 sen sekilogram (kg) manakala susu getah pukal susut 1.5 sen kepada 536.5 sen sekilogram.

Pada pukul 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal LGM berada pada 659.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 537.0 sen sekilogram. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN