fb fb fb fb fb

NIMP 2023, 90 peratus pembiayaan swasta diperlukan

Perbadanan Jaminan Kredit (CGC) juga memainkan peranan penting dalam ekosistem ini dengan menawarkan jaminan kredit / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 November - Sebanyak 90 peratus pembiayaan swasta diperlukan bertujuan mempercepat pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata pembiayaan diperoleh menerusi pelbagai sumber kewangan seperti ekuiti, pasaran modal serta institusi kewangan tempatan dan antarabangsa.

"Menyedari kepentingan pembiayaan bank inisiatif ini juga disokong oleh institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerjasama dengan pelbagai institusi kewangan swasta.

"Strategi ini bertujuan untuk menyediakan pelbagai pilihan pembiayaan dengan pelbagai saiz bergantung kepada keperluan industri," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Ku Abdul Rahman Ku Ismail mengenai perincian NIMP 2023.

Tambah Liew, Perbadanan Jaminan Kredit (CGC) juga memainkan peranan penting dalam ekosistem ini dengan menawarkan jaminan kredit.

Ini katanya bagi mengurangkan risiko terhadap institusi kewangan swasta serta dapat meningkatkan aksesibiliti pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN