KUALA LUMPUR, 14 November – Malaysia mengambil langkah proaktif bagi memperkukuh ekosistem kenderaan elektrik (EV) yang lebih mampan, inovatif dan kompetitif dengan pelancaran Malaysian Standard (MS) 2818, iaitu standard pasport bateri untuk kenderaan elektrik.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata standard baharu itu berfungsi sebagai rekod digital menyeluruh, merangkumi maklumat sepanjang kitar hayat bateri xEV daripada pengeluaran, penggunaan, sehinggalah pelupusan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong/RTM
“Standard perubahaan produk EV memang kerap dan cepat. Dengan standard yang kita lancarkan, kita akan mengupayakan ekosistem yang lebih sempurna dan membantu adaptasi dalam ekosistem EV,” katanya kepada pemberita selepas melancarakan MITI ASEAN DAY 2025 di ibu negara.
Langkah itu dijangka meningkatkan ketelusan, memudahkan jejak bateri dikesan, serta menyokong kelestarian industri EV negara, sekali gus menyumbang kepada komitmen Malaysia dalam mengurangkan pelepasan karbon.
Dalam majlis yang sama, beberapa standard kebangsaan untuk sektor makanan turut dilancarkan, antaranya MS 1480 (Keselamatan makanan berasaskan sistem HACCP) (semakan ketiga), MS 2683 (Spesifikasi madu kelulut terdehidrasi) dan MS 2782 (Spesifikasi madu lebah Apis).
Pelaksanaan standard tersebut bertujuan memastikan produk Malaysia memenuhi tahap keselamatan dan kualiti antarabangsa.