KUALA LUMPUR, 23 Dismber- Pasaran getah Malaysia berkemungkinan menyaksikan dagangan dalam julat kecil pada minggu depan dengan penyusutan permintaan serta unjuran kenaikan harga.
Sehubungan itu, mantan Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia Denis Low menjangkakan dagangan lebih suram pada minggu depan dengan aktiviti menambah stok simpanan menjadi pemangkin bagi mengekalkan permintaan serta harga.
“Pengeluaran lebih rendah akibat faktor hujan sepatutnya meningkatkan harga manakala ancaman musim tengkujuh berkemungkinan mencetuskan aktiviti menambah stok simpanan,” katanya kepada BERNAMA.
Beliau juga menyifatkan pasaran getah dalam sentimen spekulatif dan seakan tidak menitikberatkan keadaan cuaca buruk yang menyebabkan musim tengkujuh dan boleh menjejaskan pengeluaran getah.
“Ini mengejutkan ramai peniaga kerana permintaan tambahan stok simpanan lazimnya meningkatkan harga ke paras tertentu, namun kini sebaliknya dengan paras harga yang tepu.
“Jelaslah ekonomi global kini bergelut dalam senario yang tiada agenda pemulihan sosial penting bagi membolehkan keadaan kembali kepada biasa,” katanya.
Untuk minggu yang baru berakhir, pasaran getah tempatan mencatat dagangan yang bercampur-campur dan dipengaruhi oleh prestasi niaga hadapan getah serantau dan turun naik harga minyak mentah.
Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia (GMM) 20, meningkat 1.5 sen untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 674.0 sen sekilogran berbanding 672.5 sen sekilogram pada minggu sebelum ini.
Susu getah pukal turun 2.5 sen untuk ditutup pada 534.5 sen sekilogram daripada 537.0 sen sekilogram pada minggu sebelumnya.
Pada 5 petang Jumaat, harga rujukan LGM bagi getah fizikal GMM 20 mencatat 675.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 535.0 sen sekilogram.- BERNAMA