
KUALA LUMPUR, 21 April – Kerajaan akan mengumumkan langkah tambahan bagi meningkatkan pasaran pekerjaan sekaligus mengurangkan pengangguran negara dalam masa terdekat.
- Langkah bertujuan membantu golongan yang sukar mendapat pekerjaan, termasuk siswazah dan lepasan diploma.
- Kadar pengangguran kekal 2.9 peratus, dianggap antara yang terbaik dalam tempoh 10 tahun.
- Fokus kepada sektor strategik seperti semikonduktor, E&E, pusat data dan AI; kementerian perlu permudahkan kelulusan serta kukuhkan latihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bertujuan membantu golongan yang masih berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan, termasuk siswazah dan lepasan diploma.
Beliau berkata bagaimanapun kadar pengangguran negara kekal pada 2.9 peratus dan disifatkan sebagai antara yang terbaik dalam tempoh 10 tahun.
“Kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“Saya akan umumkan langkah tambahan supaya kelompok yang tersisih dari ruang pekerjaan termasuk siswazah menganggur dan lepasan diploma akan dibantu melalui langkah-langkah tambahan yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan sesi meja bulat bersama institusi kewangan di ibu negara.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Anwar berkata sektor strategik yang menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan perlu diberi fokus sewajarnya bagi memperkukuh kedudukan ekonomi negara susulan ketidaktentuan geopolitik global.
Antara sektor terlibat ialah semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), pusat data serta kecerdasan buatan (AI).
“Beberapa pengumuman pelaburan baharu dalam sektor E&E telah dibuat dalam tempoh dua hingga tiga minggu lalu, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
“Walaupun terdapat kelemahan dalam beberapa sektor, pertumbuhan dalam bidang baharu ini amat menggalakkan dan perlu dilihat secara menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan semua kementerian perlu bekerjasama bagi mempermudah proses kelulusan serta memperkukuh aspek latihan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.