fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia tinggi pada tengah hari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Januari- Bursa Malaysia positif semasa mengakhiri sesi pagi ini, dengan indeks utama kekal melebihi paras 1,500, disokong oleh aktiviti belian yang berterusan di kaunter perladangan serta telekomunikasi dan media terpilih, kata peniaga.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.54 mata kepada 1,512.82 daripada 1,506.28 pada Jumaat lepas.

Indeks barometer, yang dibuka tinggi 1.83 mata kepada 1,508.11, bergerak antara 1,507.88 dan 1,514.25 sepanjang sesi.

Suasana pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 505 berbanding 422 manakala 420 kaunter tidak berubah, 941 tidak diniagakan dan 64 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.67 bilion unit bernilai RM1.49 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka indeks petunjuk pasaran tempatan akan diniagakan dalam julat 1,500-1,512 hari ini.

“Kami terus optimis dengan berhati-hati terhadap pasaran tempatan didorong oleh sentimen yang semakin baik walaupun mungkin terdapat aktiviti pengambilan untung,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat 8.0 sen kepada RM9.22, Public Bank dan CIMB, masing-masing naik 3.0 sen kepada RM4.40 dan RM6.21 manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM6.70 dan Tenaga Nasional merosot 10 sen kepada RM10.44.

Bagi saham aktif, YNH Property naik 8.5 sen kepada 80 sen, MRCB menambah 1.0 sen kepada 66 sen manakala Minetech Resources tidak berubah pada 15.5 sen dan kaunter baharu, Master Tec merosot setengah sen kepada 38.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 46.62 mata kepada 11,279.41, Indeks FBM 70 melonjak 65.67 mata kepada 15,348.88, Indeks FBMT 100 naik 47.14 mata kepada 10,932.52 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 59.66 mata kepada 11,349.32.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 10.38 mata kepada 4,831.75.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah naik 8.34 mata kepada 932.76, Indeks Perladangan meningkat 110.8 mata kepada 7,276.52, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.89 mata kepada 174.81, Indeks Tenaga menokok 9.16 mata kepada 887.71 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 90.06 mata kepada 16,915.76.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN