fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup rendah menjelang hujung minggu

Foto Hiasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Disember- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada Jumaat dalam pasaran yang agak lengang menjelang cuti hujung minggu yang panjang dengan jualan berlaku terutamanya dalam saham perbankan, perjudian dan perladangan. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.20 mata kepada 1,454.38 daripada paras penutup 1,455.58 pada Khamis. 

FBM KLCI naik 1.18 mata untuk ditutup kepada 1,456.76 dan bergerak antara paras 1,451.99 dan 1,457.86 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 425 berbanding 411, manakala 484 kaunter tidak berubah, 986 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 2.97 bilion unit bernilai RM1.84 bilion daripada 3.06 bilion unit bernilai RM2.09 bilion. 

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau diniagakan bercampur-campur dalam sesi dagangan lengang menjelang cuti perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

"Begitu juga, para pelabur melihat 2024 sebagai tahun kemungkinan besar Amerika Syarikat akan mengurangkan kadarnya. 

"Di Hong Kong, saham ditutup rendah apabila saham wajaran tinggi Tencent dan NetEase memberi reaksi negatif selepas China mengeluarkan peraturan draf untuk mengekang perbelanjaan dan aktiviti perjudian yang berlebihan,” katanya kepada Bernama.  

Manakala di pasaran tempatan, Thong percaya jualan baru-baru ini menyediakan peluang bagi pemain pasaran untuk membeli saham berharga rendah. 

"Selain itu, indeks petunjuk pasaran ketika ini didagangkan pada nisbah harga-pendapatan 2024 di bawah 14 kali, berbanding purata lima tahunnya pada 17 kali, menunjukkan lebih banyak potensi peningkatan,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik satu sen kepada RM7.22, Public Bank susut dua sen kepada RM4.25, Tenaga Nasional turun satu sen kepada RM9.99, manakala Maybank dan CIMB tidak berubah masing-masing pada RM8.89 dan RM5.80.

Dalam kalangan kaunter cergas, Classita, Leform dan Widad naik setengah sen setiap satu masing-masing kepada lima sen, 42 sen dan 47 sen, Sarawak Consolidated meningkat 1.5 sen kepada 89 sen, manakala Top Glove susut satu sen kepada 92.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 30.32 mata kepada 14,616.84, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 13.47 mata kepada 11,003.10, Indeks FBM Emas naik 1.20 mata kepada 10,819.92, manakala Indeks FBM ACE berkurangan 10.38 mata kepada 5,216.20 dan Indeks FBMT 100 menyusut 0.90 mata kepada 10,484.93. 

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 4.25 mata kepada 7,036.45, Indeks Hartanah naik 1.54 mata kepada 859.47, Indeks Poduk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.65 mata kepada 172.76 dan Indeks Tenaga menokok 0.58 mata kepada 818.60, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 20.98 mata kepada 16,247.09.

Jumlah dagangan Pasaran Utama turun kepada 1.65 bilion unit bernilai RM1.54 bilion daripada 1.81 bilion unit bernilai RM1.84 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran mengukuh kepada 574.73 juta unit bernilai RM69.88 juta daripada 427.10 juta unit bernilai RM46.48 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 724.26 juta saham bernilai RM233.05 juta daripada 727.32 juta saham bernilai RM208.39 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 336.23 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (430.44 juta); pembinaan (83.52 juta); teknologi (150.98 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (67.62 juta); hartanah (220.93 juta); perladangan (12.65 juta); REITs (5.04 juta), dana tertutup (6,900); tenaga (100.53 juta); penjagaan kesihatan (120.70 juta); telekomunikasi dan media (30.44 juta); pengangkutan dan logistik (24.44 juta); dan utiliti (70.51 juta). - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI