fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan data IPP tidak berubah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 November- Bursa Malaysia ditutup rendah pada urusniaga pertama November berikutan data Indeks Pengurus Pembelian (IPP) yang lemah pada Oktober, mencatatkan penguncupan 14 bulan berturut-turut, kata seorang penganalisis.

Menurut S&P Global Market Intelligence, pelarasan bermusim terkini PMI Pembuatan S&P Global Malaysia tidak berubah pada 46.8 pada Oktober, dengan laporan menunjukkan bahawa firma terus bergelut dengan kelemahan permintaan, di dalam dan di luar negara.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup 0.47 peratus lebih rendah, atau 6.81 mata kepada 1,435.33 daripada 1,442.14 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.97 mata lebih rendah pada 1,441.17 dan bergerak antara 1,434.93 dan 1,441.59 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 562 daripada 319, manakala 401 kaunter tidak berubah, 1,068 tidak diniagakan dan 14 digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 2.79 bilion unit bernilai RM1.79 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM1.85 bilion semalam.

Ketua Penyelidik Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata selain itu, sentimen berhati-hati pelabur tercetus menjelang keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) lewat hari ini.

Kelemahan dalam saham wajaran tinggi minyak dan gas juga ketara berikutan harga minyak menurun sejak dua hari lepas.

Firma pembrokeran menjangkakan suasana pasaran itu berterusan memandangkan ketidaktentuan yang berterusan merentas pasaran global, ditambah dengan ketiadaan petunjuk domestik baharu.

“Pelabur akan memantau perkembangan daripada Fed malam ini untuk mendapatkan petunjuk mengenai arah kadar faedah. Di dalam negara, pelabur juga akan memerhatikan keputusan kadar faedah Bank Negara Malaysia yang akan diumumkan esok pada 3 petang,” katanya kepada Bernama.

Leong berkata, secara teknikal, FBM KLCI telah membentuk aliran menurun apabila indeks utama itu mengakhiri semua kenaikan sesi sebelumnya tetapi masih kekal pada paras 1,430 dan 1,446.

“Sekiranya ia tidak dapat bertahan pada 1,430, paras sokongan jangka terdekat dilihat pada 1,424. Tetapi, jika indeks utama meningkat melepasi 1,446, paras rintangan berada pada 1,464 dan 1,488," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals susut 20 sen kepada RM7.14, Press Metal turun 10 sen kepada RM4.82, Dialog susut sembilan sen kepada RM2.06, Hong Leong Bank turun 20 sen kepada RM19.20, HLFG susut dua sen kepada RM17.22, manakala Maybank kekal pada RM9.02.

Daripada saham aktif, Classita dan Kanger masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen dan 12.5 sen, Ageson naik 4.5 sen kepada 7.5 sen, Ranhill meningkat 15.5 sen kepada 73.5 sen, dan Sarawak Consolidated Industries menokok satu sen kepada 56 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 57.39 mata kepada 10,581.20, Indeks FBMT 100 susut 56.93 mata kepada 10,258.43, dan Indeks FBM Emas Syariah merosot 76.88 mata kepada 10,764.71.

Indeks FBM 70 susut 113.15 mata kepada 13,924.72 manakala Indeks FBM ACE turun 18.89 mata kepada 4,998.52.

Dari segi sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.39 mata kepada 170.01, Indeks Perladangan susut 18.11 mata kepada 6,886.06, Indeks Tenaga turun 10.64 mata kepada 857.65, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 49.80 mata kepada 16,201.74.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.85 bilion unit bernilai RM1.55 bilion berbanding 1.82 bilion unit bernilai RM1.57 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 294.17 juta unit bernilai RM45.74 juta berbanding 409.72 juta unit bernilai RM65.09 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 643.01 juta saham bernilai RM200.70 juta daripada 749.32 juta saham bernilai RM215.22 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 450.28 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (437.48 juta); pembinaan (174.77 juta); teknologi (138.00 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (41.98 juta); hartanah (188.13 juta); perladangan (24.75 juta); REIT (13.52 juta), dana tertutup (3,000); tenaga (97.14 juta); penjagaan kesihatan (56.12 juta); telekomunikasi dan media (22.93 juta); pengangkutan dan logistik (66.87 juta); dan utiliti (140.96 juta).- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN