
LONDON, 27 April – Lawatan negara Raja Britain, Raja Charles III ke Amerika Syarikat akan diteruskan seperti dirancang, menurut Istana Buckingham dalam satu kenyataan.
- Raja dan Permaisuri menghubungi keluarga Trump, menyampaikan simpati serta menghargai pasukan keselamatan atas tindakan pantas.
- Pasukan keselamatan Britain dan Amerika bekerjasama rapat untuk memastikan tahap keselamatan lawatan berada pada tahap terbaik.
- Lawatan empat hari merangkumi Washington dan New York; Raja akan berucap di Kongres, minum petang dan menghadiri makan malam negara.
Buckingham Palace memaklumkan bahawa Raja Charles ‘lega’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, isterinya Melania Trump serta tetamu lain tidak mengalami kecederaan, dan lawatan tersebut akan diteruskan seperti dijadualkan.
“Baginda Raja dan Permaisuri amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja pantas bagi memastikan perkara ini kekal demikian dan tidak sabar untuk memulakan lawatan esok,” menurut kenyataan itu.
Sebelum itu, menteri kanan United Kingdom, Darren Jones memaklumkan kepada media bahawa pasukan keselamatan di Britain dan Amerika Syarikat sedang bekerjasama rapat bagi memastikan tahap keselamatan lawatan negara berkenaan berada dalam keadaan terbaik.
Difahamkan, Raja dan Permaisuri turut menghubungi secara peribadi keluarga Trump bagi menyampaikan simpati terhadap insiden berkenaan, selain merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan yang berjaya mengelakkan kecederaan lebih serius.
Trump memaklumkan bahawa seorang pegawai penguat kuasa undang-undang telah ditembak dari jarak dekat, namun tidak mengalami kecederaan serius.
Lawatan negara selama empat hari itu bagi memperingati hubungan sejarah antara Britain dan Amerika Syarikat sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan Amerika. Raja Charles dan Permaisuri Camilla dijadualkan akan mengunjungi Washington dan New York.
Raja Charles juga akan menjadi raja Britain pertama berucap di Kongres sejak ibunya, mendiang Ratu Elizabeth II pada 1991, selain dijadualkan menikmati minum petang bersama Trump dan Melania serta menghadiri majlis makan malam negara.- AFP