4 rakyat Palestin maut dalam serangan israel di Gaza

Seorang wanita dan dua anaknya terbunuh akibat serangan rejim Zionis menyerang rumah kediaman berhampiran hospital Kamal Adwan di Beit Lahia di utara Gaza/ AFP

GAZA, 27 April – Empat rakyat Palestin, termasuk seorang wanita, maut dalam serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Ahad, manakala proses pemindahan perubatan bagi pesakit dan mangsa yang cedera diteruskan melalui lintasan sempadan Rafah ke Mesir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dron Israel melancarkan peluru berpandu ke al-Zeitoun, selatan Bandaraya Gaza, mengorbankan tiga orang.
  • Dalam insiden berasingan, wanita berumur 40 tahun terbunuh di Khan Younis selepas kenderaan tentera menembak khemah pelarian.
  • Ketegangan terus memuncak walaupun gencatan senjata rapuh; insiden keganasan dan pertikaian penghantaran bantuan berterusan.
  • Hospital menerima dua jenazah dan merawat 11 mangsa dalam 24 jam; Bulan Sabit Merah memindahkan 57 pesakit untuk rawatan luar Gaza.

Saksi dan sumber tempatan memberitahu Xinhua bahawa sebuah dron Israel melepaskan peluru berpandu ke arah sekumpulan rakyat Palestin di kawasan kejiranan al-Zeitoun, selatan Bandaraya Gaza, yang mengorbankan tiga orang.

Dalam insiden berasingan, seorang wanita berusia 40 tahun terkorban di selatan Khan Younis, selatan Gaza, menurut jurucakap Pertahanan Awam di Gaza, Mahmoud Basal. Saksi melaporkan bahawa kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah khemah-khemah yang menempatkan pelarian di kawasan terbabit. Setakat ini, tiada ulasan segera daripada pihak Israel.

Ketegangan terus memuncak di Gaza meskipun terdapat gencatan senjata yang rapuh, dengan insiden keganasan dilaporkan di tengah-tengah pelaksanaan perjanjian yang terhenti serta pertikaian berterusan mengenai penghantaran bantuan kemanusiaan dan pengunduran tentera.

Pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza dalam kemas kini harian memaklumkan bahawa hospital menerima dua jenazah dan merawat 11 mangsa yang cedera dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kematian sejak 10 Oktober kepada 811 orang, manakala 2,278 lagi cedera. Jumlah keseluruhan kematian sejak Oktober 2023 kini meningkat kepada 72,587 orang, dengan 172,381 mangsa mengalami kecederaan.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memaklumkan pasukannya telah memindahkan 57 pesakit bersama 81 pengiring, menjadikan jumlah keseluruhan 138 orang, untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza. Proses pemindahan itu dijalankan dengan penyelarasan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menurut persatuan itu, kira-kira 700 pesakit telah meninggalkan Gaza untuk rawatan di luar negara sejak pembukaan semula terhad lintasan Rafah pada 2 Februari, manakala lebih 18,000 lagi masih memerlukan pemindahan perubatan segera.- BERNAMA