fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka kekal stabil minggu depan dengan potensi meningkat

Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 Mac- Bursa Malaysia dijangka kekal stabil dengan potensi meningkat pada minggu depan susulan pengumuman pendapatan korporat yang memberangsangkan dan penilaian saham yang menarik.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, selain itu peningkatan jumlah dagangan harian juga membayangkan keseluruhan sentimen semakin bertambah baik.

"FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada dalam situasi stabil pada paras 1,542 dan 1,558 susulan kejayaannya melepasi paras 1,540 pada 20 Feb, 2024.

"Meskipun keadaan stabil ini, indeks tersebut mengekalkan kedudukannya di atas paras Exponential Moving Averages (EMA), yang menunjukkan potensi pergerakan meningkat.

"Kami percaya indeks petunjuk pasaran masih berada dalam fasa penstabilan dengan kecenderungan meningkat,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, Thong menjangkakan indeks itu mencatatkan lantunan semula dan berada dalam jajaran 1,540 hingga 1,570 minggu depan dengan paras sokongan pada 1,534, diikuti pada 1,520.

"Paras rintangan seterusnya dijangkakan pada 1,570, dan sekiranya indeks melepasi paras ini momentum dijangka terus meningkat lagi,” katanya.

Pada minggu yang baru berakhir ini, pasaran diniagakan kebanyakannya rendah berikutan aktiviti mengambil untung susulan kenaikan baru-baru ini dan juga sejajar dengan prestasi lemah di pasaran serantau.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 11.09 mata kepada 1,538.02 daripada paras 1,549.11 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 109.05 mata kepada 11,410.31,Indeks FBMT 100 susut 97.40 mata kepada 11,074.77, Indeks FBM 70 jatuh 207.80 mata kepada 15,384.72, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 90.23 mata kepada 11,471.55 dan Indeks FBM ACE turun 125.53 mata kepada 4,760.36.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 170.17 mata kepada 17,175.22, Indeks Tenaga jatuh 20.24 mata kepada 909.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 2.07 mata kepada 175.78 dan Indeks Perladangan berkurangan 23.97 mata kepada 7,223.86.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 22.55 bilion unit bernilai RM19.61 bilion daripada 18.60 bilion unit bernilai RM13.51 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 15.51 bilion saham bernilai RM18.29 bilion daripada 11.77 bilion saham bernilai RM12.15 bilion.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 4.25 bilion unit bernilai RM594.90 juta daripada 4.11 bilion unit bernilai RM598 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.74 bilion saham bernilai RM718.65 juta daripada 2.65 bilion saham bernilai RM755.20 juta sebelumnya. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA