
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Kawasan Serian, Samarahan dan Kuching terus merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap bahaya setakat 11:45 malam Ahad.
- Sri Aman, Sarikei dan Sibu merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing 296, 235 dan 202.
- Tujuh kawasan di Sarawak termasuk Mukah, Samalaju, Bintulu, Miri, ILP Miri, Kapit dan Limbang catat bacaan IPU tidak sihat.
- IPU 0–50 baik, 51–100 sederhana, 101–200 tidak sihat, 201–300 sangat tidak sihat, >300 bahaya; data dikeluarkan setiap jam.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di stesen pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian semakin meningkat mencecah 447, diikuti Samarahan (333) dan Kuching (315).
Selain itu, Sri Aman, Sarikei dan Sibu merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, iaitu masing-masing 296, 235 dan 202.
12 lagi kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan tujuh daripadanya di Sarawak, iaitu Mukah (199), Samalaju (182), Bintulu (178), Miri (165), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri (163), Kapit (163) dan Limbang (156)
Wilayah Persekutuan Labuan turut menunjukkan bacaan IPU tidak sihat, iaitu, 157.
Di Sabah juga, dua kawasan merekodkan kualiti udara tidak sihat iaitu Kota Kinabalu dan Kimanis dengan bacaan IPU masing-masing 121 dan 102.
Di Semenanjung, dua kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Sungai Petani, Kedah (145) dan Taiping, Perak (107).
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai bahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.