(Gambar menunjukkan pelancaran peluru berpandu balistik antara benua (ICBM)
pada 24 Mac 2022 dan dikeluarkan KCNA pada 25 Mac 2022/AFP)
SEOUL, 25 Mac- Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un secara peribadi memantau sendiri ujian senjata baharu, paling berkuasa bagi memastikan Pyongyang bersedia untuk meneruskan konfrontasi berterusan dengan Amerika Syarikat (AS), memetik laporan media kerajaan hari ini.
Ujian senjata jenis baharu peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) itu dijalankan bawah "panduan langsung" pemimpin utama Kim Jong Un, lapor KCNA.
Ujian semalam adalah pertama kali Pyongyang menembak peluru berpandu paling berkuasa jarak penuh sejak 2017.
Senjata terbaharu itu dikesan boleh meluncur lebih tinggi dan jauh berbanding ujian ICBM yang pernah diuji Pyongyang sebelum ini -- termasuk jenis senjata yang direka untuk menyerang tanah besar AS.
(Gambar diambil pada 24 Mac 2022 menunjukkan Kim Jong Un bersama pasukan tentera memantau
pelancaran ICBM, Hwasongpho-17 di satu lokasi tidak didedahkan/AFP)
Laporan media kerajaan memaparkan gambar Kim yang memakai jaket kulit dan cermin mata hitam seperti kelaziman, berjalan melintasi landasan di hadapan peluru berpandu bersaiz besar, selain gambar lain menunjukkan dia bersorak meraikan kejayaan pelancaran ujian itu bersama pasukan tentera.
Ujian ICBM terbaharu itu "akan membuatkan seluruh dunia sedar dan jelas mengenai kemampuan angkatan bersenjata strategik kita," kata Kim, memetik laporan KCNA.
“Korea Utara kini bersedia sepenuhnya untuk konfrontasi yang sudah lama wujud dengan imperialis AS", tambah Kim. -AFP