fb fb fb fb fb

Tentera China perlu henti tindakan provokatif - Tentera Filipina

(FOTO AFP)

MANILA, 14 Februari - Beijing perlu menahan tenteranya daripada melakukan sebarang 'tindakan provokatif' selepas Manila menuduh Pengawal Pantai China memancarkan lampu laser ke arah kapal pasukannya di Laut China Selatan.

Pengawal Pantai Filipina (PCG) mendakwa kejadian berlaku pada 6 Februari lalu ketika kapalnya sedang membantu misi tentera laut untuk menghantar makanan dan bekalan kepada pasukan di perairan yang menjadi pertikaian itu.

(Foto yang diambil oleh Pengawal Pantai Filipina pada 13 Februari menunjukkan kapal
Pengawal Pantai China memancarkan "lampu laser gred tentera" di bot Pengawal
Pantai Filipina di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan / FOTO AFP)

Sebuah kapal Pengawal Pantai China dituduh memancarkan 'laser gred tentera' ke arah kapal PCG, sehingga menjejaskan seketika penglihatan krunya.

"Saya fikir sudah tiba masa untuk Kerajaan China mengekang tenteranya daripada melakukan sebarang tindakan provokatif yang akan membahayakan nyawa manusia," kata jurucakap tentera Filipina, Medel Aguilar kepada pemberita.

Aguilar turut memetik ketua pertahanan Filipina berkata, tindakan China itu disifatkan sebagai 'ofensif' dan tidak selamat.

Sementara itu mengulas tuduhan Filipina pula, Kementerian Luar Beijing sebaliknya mendakwa pasukan Pengawal Pantai China bertindak mengikut undang-undang.-REUTERS

Media Baharu