fb fb fb fb fb

Tanah runtuh: 7,900 orang dipindahkan di Papua New Guinea

Foto AFP

PORT MORESBY, 28 Mei- Kira-kira 7,900 penduduk yang tinggal berhampiran lokasi tanah runtuh di Papua New Guinea dipindahkan.

Pentadbir Wilayah, Enga Sandis Tsaka berkata kejadian tanah runtuh susulan yang berlaku, menimbulkan kebimbangan. Pemindahan penduduk dilakukan untuk mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

"Setiap jam anda boleh mendengar batu pecah, ia seperti bom atau tembakan dan batu jatuh," kata Tsaka kepada AFP.

"Pekerja penyelamat cuba mengeluarkan 7,900 orang dari kawasan itu untuk memastikan tanah runtuh yang berterusan tidak akan meragut lebih banyak nyawa daripada mereka yang sudah hilang", katanya.

“Seluruh keluarga tertimbus di bawah runtuhan. Semua orang di wilayah Enga mempunyai rakan atau anggota keluarga yang terbunuh, hilang atau terjejas akibat tragedi ini,” tambahnya.

Beliau berkata kawasan itu padat dengan kediaman, perniagaan, gereja dan sekolah.

"Kawasan itu telah hancur sepenuhnya dan masyarakat trauma", katanya dalam mesyuarat tergempar dengan kerajaan asing secara dalam talian pada pagi Selasa.

Beliau turut memohon bantuan segera bagi menangani risiko tanah runtuh dan memastikan penghantaran bantuan dipercepatkan.

Bagaimanapun, usaha bantuan ditangguhkan, susulan lokasi insiden yang terpencil dan jalan raya yang terputus hubungan serta konflik etnik minoriti di kawasan berhampiran.

Komuniti lereng bukit di wilayah Enga hampir musnah apabila Gunung Mungalo runtuh awal pagi Jumaat, menimbuskan banyak rumah dan orang ramai yang sedang tidur.

Sementara itu, 2,000 orang dikhuatiri masih tertimbus, namun setakat ini hanya lima mayat telah ditarik keluar dari runtuhan.-AFP

ROSLINA BINTI DIN