NICOSIA, 15 Jun- Seorang wanita warga emas menjadi korban pertama akibat gelombang haba yang melanda Cyprus pada awal musim panas ketika pulau itu merekodkan suhu tertinggi pada bulan ini iaitu 45 darjah Celsius, semalam.
Jurucakap organisasi kesihatan negeri, Charalambos Charilaou berkata, mangsa, 91, meninggal dunia di Hospital Besar Nicosia disebabkan strok haba, selepas mengalami serangan jantung sebanyak dua kali.
"Selepas menyiasat kejadian itu, doktor mengesahkan bahawa serangan jantung itu adalah akibat strok haba," katanya kepada pemberita.
Charilaou berkata, hospital telah menangani kes keletihan haba selama beberapa hari. Sekurang-kurangnya lima pesakit warga emas sedang dirawat di hospital dengan simptom strok haba yang teruk.
Semalam, Cyprus mengeluarkan amaran merah dengan Jabatan Meteorologi melaporkan suhu maksimum telah mencapai bacaan 45 darjah Celsius.
Disebabkan itu, Jabatan Pemeriksaan Buruh mengeluarkan arahan supaya semua kerja luar dihentikan pada siang hari.
Perkhidmatan pengangkutan atau penghantaran produk yang menggunakan motosikal juga digantung antara pukul 12.00 tengah malam hingga 4.00 petang.
Susulan kritikan terhadap kerajaan kerana tidak mempunyai sistem penyejukan yang mencukupi di sekolah, Kementerian Pendidikan mengambil langkah memendekkan waktu kelas bagi sekolah rendah, tadika dan sekolah berkeperluan khas pada 10.45 pagi.
Gelombang panas awal sudah melanda Greece awal minggu ini, mendorong pihak berkuasa negara itu untuk menutup mercu tanda paling terkenal di Athens iaitu Acropolis serta tarikan pelancong lain. Suhu maksimum di pulau percutian Crete, Yunani mencapai 44.5 Celsius. -AFP