fb fb fb fb fb

Spekulasi bekas PM Britain, Boris Johnson buat kemunculan semula

(Bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson/ AFP)

LONDON, 22 Oktober - Akhbar-akhbar di Britain membuat spekulasi bekas Perdana Menteri, Boris Johnson mungkin mencalonkan diri untuk kembali ke jawatan lamanya itu.

Khabar angin tentang kemunculan semula Johnson ke arena politik semakin kencang apabila kumpulan penyokongnya melancarkan kempen "kembalikan Boris" untuk jawatan nombor satu itu.

AFP melaporkan, sementara terdapat permintaan untuk Johnson menerajui semula Downing Street, sebahagian pemerhati politik dan pengkritik pula menyifatkannya sebagai 'penghinaan ke atas rakyat Britain.

Memetik laporan The Times, Johnson berkemungkinan memasuki senarai calon untuk menggantikan Liz Truss, atas alasan ia adalah demi kepentingan negara.


(Laporan akhbar The Sun yang memaparkan tentang bekas Perdana Menteri Britain, Boris Johnson/ AFP)

Di Twitter, beberapa ahli Konservatif cuba menjadikan tanda pagar #BringBorisBack tular pada Khamis, selepas Truss mengumumkan peletakan jawatannya.

Ahli Parlimen Tory, Brendan Clarke-Smith memberitahu Sky News bahawa perdana menteri seterusnya perlukan mandat daripada pengundi dan ahli parti.

Calon itu juga perlulah 'seseorang yang mampu menjadi pemenang' dan Boris Johnson memenuhi semua kriteria.

Namun dari pandangan lain, Ahli Parlimen Tory, Roger Gale berpendapat, Johnson sepatutnya tidak boleh bertanding, memandangkan dia masih di bawah siasatan atas insiden skandal 'pesta' yang menjatuhkan kariernya. -AFP

Media Baharu