BUENOS AIRES, 17 Februari- Jawatankuasa Perpaduan Argentina bersama-sama rakyat Palestin serta pertubuhan sosial menganjurkan perarakan kenderaan dan berbasikal di ibu negara Buenos Aires dalam mengecam pencerobohan kejam Israel di Gaza.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), para peserta menaikkan bendera Palestin dan Argentina, selain membawa sepanduk mengandungi slogan yang mengecam pembunuhan beramai-ramai termasuk kanak-kanak dan orang awam di negara tersebut.
Mereka turut menuntut gencatan senjata dan meminta Israel bertanggungjawab di atas jenayah mengerikan itu.
Para peserta juga mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Presiden Argentina, Javier Miley berhubung hasratnya memindahkan kedutaan negara itu ke Jerusalem.
Mereka yang menyertai perarakan termasuk beberapa pemimpin, aktivis pertubuhan hak asasi manusia dan kesatuan sekerja.