fb fb fb fb fb

Penyerang pelari maraton Olimpik Uganda meninggal dunia

Rebecca Cheptege/Reuters

NAIROBI, 10 September - Lelaki yang menyerang pelari maraton Olimpik Uganda Rebecca Cheptegei meninggal dunia akibat kecederaannya ketika dia mencurahkan petrol ke atas atlet Olimpik itu, kata hospital Kenya.

Dickson Ndiema Marangach menyerang Cheptegei di rumahnya di barat Kenya pada 1 September lalu.

Cheptegei ibu kepada dua anak itu meninggal dunia minggu lalu akibat badannya melecur kira-kira 80 peratus.

Dalam serangan itu, Marangach turut melecur 30 peratus dan sedang di unit rawatan rapi di Hospital Pengajaran dan Rujukan Moi (MTRH) di bandar Rift Valley, Eldoret sebelum disahkan meninggal dunia pada Selasa.

"Memang benar Dickson Ndiema meninggal dunia malam tadi kira-kira pukul 8.00 malam," kata seorang pegawai di jabatan komunikasi hospital itu kepada AFP.

Pegawai berkata keluarga Ndiema telah dimaklumkan mengenai berita kematiannya itu.

Cheptegei dibakar teman lelakinya dan mengalami kecederaan teruk hingga membawa maut dan perbuatan itu mencetuskan kemarahan masyarakat negara itu.

Sekurang-kurangnya dua atlet lain telah kehilangan nyawa di tangan pasangan masing-masing sejak 2021.

Cheptegei dijangka dikebumikan pada 14 September berhampiran rumah keluarganya di timur Uganda, menurut Jawatankuasa Olimpik negara itu.

Menurut media tempatan serangan itu disaksikan oleh anak perempuan Cheptegei, berlaku hanya beberapa minggu selepas dia membuat penampilan sulung Olimpik dalam maraton wanita di Sukan Paris.

Polis berkata Marangach menyelinap masuk ke rumahnya di Endebess, berhampiran sempadan dengan Uganda ketika dia berada di gereja bersama-sama anak-anaknya. - AFP

TETITIA YUSOFF