Arteta puas hati, Arsenal rampas semula takhta

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta./foto AFP

LONDON, 26 April – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta lega selepas The Gunners kembali ke landasan kemenangan, namun mengakui skuadnya sepatutnya meraih kelebihan jaringan besar ketika menentang Newcastle United, selain memaklumkan Kai Havertz dan Eberechi Eze mengalami masalah otot menjelang aksi berikutnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Eberechi Eze jaring gol awal pastikan Arsenal menang 1-0 di laman sendiri dan rampas kembali kedudukan teratas Liga Perdana.
  • Arsenal tamatkan kemerosotan selepas tewas kepada Bournemouth dan Manchester City, kutip tiga mata walau persembahan kurang meyakinkan.
  • Arsenal kini 73 mata daripada 34 perlawanan, manakala pencabar terdekat Manchester City 70 mata daripada 33 aksi.
  • Newcastle alami kekalahan liga keempat berturut-turut, jatuh ke tangga ke-14 dan tekanan meningkat ke atas pengurus Eddie Howe.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Kami sudah menegaskan betapa pentingnya perlawanan pertama dan kami berjaya melaksanakan tugas tersebut. Sepatutnya kami boleh menamatkan permainan dengan kelebihan jaringan lebih besar dalam beberapa situasi.

“Namun, apabila kedudukan 1-0, ia sentiasa sukar kerana lawan memiliki kualiti serta membawa masuk pemain yang baik dari bangku simpanan. Apabila kami gagal menyudahkan peluang, terutama yang terbuka, jurang kemenangan menjadi semakin kecil.

“Bagi dua pemain yang disebutkan, mereka hanya mengalami sedikit ketegangan otot. Kami tidak menjangkakan ia serius, tetapi perlu menunggu untuk melihat sama ada mereka sempat pulih menjelang Rabu,” katanya.

Terdahulu, Arsenal menamatkan kemerosotan prestasi apabila jaringan awal Eberechi Eze memastikan kemenangan tipis 1-0 di laman sendiri, sekali gus merampas semula kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris.

Selepas tewas berturut-turut menentang AFC Bournemouth dan Manchester City, Arsenal kembali bangkit mengutip tiga mata berharga biarpun persembahan dipamerkan kurang meyakinkan.

Arsenal kini mengumpul 73 mata daripada 34 perlawanan, manakala pencabar terdekat Manchester City mencatat 70 mata daripada 33 aksi.

Sementara itu, kekalahan keempat berturut-turut liga menyaksikan Newcastle jatuh ke tangga ke-14, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pengurusnya, Eddie Howe. – REUTERS