fb fb fb fb fb

Pembunuhan komuniti Alawite, pemimpin baharu Syria janji laksana siasatan

Pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa/Reuters

DAMSYIK, 10 Mac- Pemimpin baharu Syria, Ahmed al-Sharaa berjanji akan menjalankan siasatan dan memastikan pihak terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai komuniti Alawite di negara itu diadili.

Ini susulan kecaman antarabangsa terhadap keganasan terburuk sejak kejatuhan Bashar al-Assad.

Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) melaporkan, sejak 6 Mac lalu, seramai 973 orang awam terbunuh dalam insiden pembunuhan, pelaksanaan hukuman mati di lapangan dan operasi pembersihan etnik oleh anggota keselamatan atau pejuang pro-kerajaan di kawasan pantai yang menjadi pusat komuniti minoriti Alawite, kelompok asal bekas presiden itu.

Sebelum ini, SOHR melaporkan seramai 830 orang awam terbunuh, dengan menyatakan sasaran utama adalah komuniti Alawite di wilayah pesisir Mediterranean, Latakia dan Tartus.

Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Turk menggesa keganasan dihentikan serta-merta manakala Liga Arab, PBB, Amerika Syarikat, Britain dan beberapa kerajaan lain turut mengecam kekejaman itu.

"Kami akan mengambil tindakan tegas dan tanpa kompromi terhadap sesiapa yang terlibat dalam pertumpahan darah orang awam atau melampaui kuasa kerajaan," kata Sharaa dalam video yang disiarkan oleh agensi berita SANA.

Pada Ahad, pejabat presiden mengumumkan penubuhan sebuah "jawatankuasa bebas" menerusi Telegram bagi menyiasat pelanggaran hak terhadap orang awam dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab untuk dihadapkan ke mahkamah.

Pertempuran antara pasukan keselamatan baharu dan penyokong bekas kerajaan bermula Khamis lalu dan semakin meruncing hingga membawa kepada pembunuhan beramai-ramai.

Menurut SOHR, ratusan anggota keselamatan dan pejuang pro-Assad turut terbunuh, menjadikan jumlah korban keseluruhan melebihi 1,300 orang.

Dalam ucapan berasingan di sebuah masjid di Damsyik, Sharaa menyeru rakyat Syria agar bersatu padu demi keamanan negara.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM