fb fb fb fb fb

Pemanasan global sebabkan cuaca ekstrem di bandar-bandar utama dunia

Orang ramai berjalan merentasi air di kawasan banjir yang terjejas akibat kenaikan paras laut dan penurunan tanah di Jakarta Utara. / Foto REUTERS

SINGAPURA, 13 Mac-Cuaca di beberapa bandar paling padat di dunia kini mengalami perubahan drastik antara kemarau dan banjir, berpunca daripada peningkatan suhu global yang mengganggu kitaran air dunia menurut satu kajian yang dilakukan oleh badan amal WaterAid pada Rabu.

Berdasarkan kajian berkenaan yang menganalisis data cuaca dari lebih 100 bandar paling ramai penduduk di dunia mendedahkan Asia Selatan dan Asia Tenggara mengalami peningkatan hujan paling ketara, manakala Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara pula semakin kering.

"Akan ada pihak yang untung dan rugi akibat perubahan iklim," kata Michael Singer dari Water Research Institute, Cardiff University, yang turut menulis kajian itu.

Bandar Hangzhou di China dan ibu negara Indonesia, Jakarta, berada di tangga teratas bagi kesan "climate whiplash" iaitu perubahan ekstrem antara banjir dan kemarau yang berlaku secara berturut-turut.

Selain itu, sekitar 15% bandar dalam kajian tersebut menghadapi risiko banjir dan kemarau secara serentak, termasuk Dallas (Amerika Syarikat), Shanghai (China) dan Baghdad (Iraq).

"Anda tidak boleh mengandaikan bahawa setiap tempat boleh bertindak balas dengan cara yang sama terhadap pemanasan global," tambah Singer.

"Iklim tidak peduli sama ada anda kaya atau miskin, atau mempunyai infrastruktur yang hebat atau tidak."

Hangzhou mengalami rekod lebih 60 hari suhu tinggi ekstrem tahun lalu, selain dilanda banjir besar yang menyebabkan puluhan ribu penduduk terpaksa berpindah.

Sebanyak 20% bandar menunjukkan perubahan ketara dalam corak cuaca, seperti Colombo (Sri Lanka) dan Mumbai (India) yang menjadi semakin basah, sementara Kaherah (Mesir) dan Hong Kong semakin kering.

"Banyak bandar yang sebelum ini membina infrastruktur untuk menguruskan kekurangan air atau mengurangkan kerosakan akibat banjir kini menghadapi keadaan yang sangat berbeza," kata Singer, sambil menekankan keperluan pelaburan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Namun, terdapat beberapa bandar yang mengalami perubahan positif, seperti Tokyo (Jepun), London (UK) dan Guangzhou (China), yang kini mengalami lebih sedikit hujan dan kering antara 2002 hingga 2023 berbanding dua dekad sebelumnya.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD