fb fb fb fb fb

Peluru hujani bandar berhampiran loji nuklear di Ukraine

(Peralatan tentera Rusia yang musnah dipamerkan di jalan Khreshchatyk di Kyiv
pada 20 Ogos 2022, yang telah dijadikan muzium tentera terbuka/AFP)

KIEV, 22 Ogos- Peluru menghujani bandar berhampiran loji nuklear terbesar Eropah dengan peluru berpandu Rusia berterbangan berhampiran pelabuhan Laut Hitam Odesa semalam, sewaktu Ukraine memberi amaran terhadap serangan hebat negara jirannya itu, selepas enam bulan peperangan berlangsung.

Rabu ini merupakan 31 tahun kemerdekaan Ukraine daripada pemerintahan Soviet serta setengah tahun sejak pencerobohan Rusia dan Presiden Volodymyr Zelensky menyeru untuk berjaga-jaga dengan menyatakan Moscow akan cuba melakukan 'sesuatu yang sangat buruk'.

Ketika Ukraine sedang bersedia untuk menyambut Hari Kemerdekaannya, pegawai melaporkan lebih banyak serangan Rusia ke atas sasaran di timur dan selatan negara itu.

Kebimbangan adalah serangan peluru ke atas Nikopol, sebuah bandar berhampiran Zaporizhzhia, Ukraine dan loji nuklear terbesar di Eropah.

Nikopol sudah dibedil lima kali dalam satu malam dan gabenor wilayah, Valentyn Reznichenko menulis di Telegram bahawa 25 peluru meriam sudah melanda bandar itu dan menyebabkan kebakaran di sebuah premis perindustrian dan memotong kuasa kepada 3,000 penduduk.

Pertempuran berdekatan Zaporizhzhia dan serangan peluru berpandu pada kelmarin berlaku ke atas bandar Voznesensk, di selatan Ukraine iaitu tidak jauh dari loji atom kedua terbesar di Ukraine dan ia mencetuskan kebimbangan berlakunya kemalangan nuklear.

Ahad lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden; Perdana Menteri Britain, Boris Johnson; Canselor Jerman, Olaf Scholz dan Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengadakan panggilan telefon menekankan kepentingan memastikan keselamatan pemasangan nuklear, sambil menggariskan 'komitmen teguh' mereka kepada Ukraine.

Sementara itu, dalam ucapan video semalam, Zelensky berkata, beliau sudah membincangkan 'semua ancaman' dengan Macron, malah mesej juga dihantar kepada pemimpin dunia lain termasuk Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

(Petugas penyelamat membantu seorang wanita dipindahkan dari bangunan
kediamanyang rosak akibat serangan peluru berpandu Russia di Voznesensk,
wilayah Mykolaiv, Ukraine/REUTERS)


"Semua rakan kongsi Ukraine sudah dimaklumkan mengenai apa yang negara pengganas boleh bersedia untuk minggu ini," kata Zelensky, merujuk kepada Rusia.

The Financial Times, dalam artikel yang diterbitkan semalam turut memetik duta Moscow ke PBB di Geneva, Gennady Gatilov, sebagai berkata, Erdogan cuba memudahkan dialog.

Namun, beliau menolak spekulasi mengenai perbincangan antara Zelensky dan Presiden Russia, Vladimir Putin, dengan mengatakan 'tiada sebarang platform praktikal untuk mengadakan pertemuan ini'.

Putin turut mengarahkan apa yang disebutnya sebagai 'operasi ketenteraan khas' untuk memusnahkan jirannya yang lebih kecil dan melindungi komuniti berbahasa Rusia.

Ukraine dan penyokong Barat turut menuduh Moscow melancarkan perang penaklukan ala imperialis.

Pihak berkuasa Russia ketika ini sedang menyiasat serangan bom kereta yang berlaku di luar Moscow yang turut membunuh anak perempuan Alexander Dugin, yang juga seorang ideologis ultra-Nasionalis Rusia yang menyokong negara itu menakluk Ukraine.

Walaupun penyiasat berkata mereka sedang mempertimbangkan 'semua versi' untuk menentukan siapa yang bertanggungjawab, tetapi Kementerian Luar Rusia membuat spekulasi kejadian itu mungkin ada kaitan dengan Ukraine, sesuatu yang ditolak oleh penasihat Zelensky.

"Ukraine, sudah tentu tiada kaitan dengan ini kerana kita bukan negara jenayah seperti Persekutuan Rusia, dan lebih-lebih lagi kita bukan negara pengganas," kata Mykhailo Podolyak di televisyen Ukraine, yang mencadangkan insiden itu adalah 'Karmic' atau pembalasan kepada penyokong pencerobohan Moscow. -REUTERS

Media Baharu