(Vladimir Putin menyaksikan perarakan tentera Hari Kemenangan di Dataran Merah
tengah Moscow pada 9 Mei 2022/AFP)
MOSCOW, 10 Mei - Presiden Vladimir Putin mempertahankan serangan tentera Rusia di Ukraine yang dinamakan operasi khas ketenteraan, sebagai perjuangan melindungi ibu pertiwi.
"Anda berjuang untuk tanah air, untuk masa depannya, supaya tiada siapa yang melupakan pelajaran Perang Dunia Kedua," kata Putin semasa berucap pada upacara perarakan sambutan Hari Kemenangan bagi memperingati kejayaan Kesatuan Soviet menewaskan Nazi-Jerman dalam Perang Dunia II pada tahun 1945.
Sambutan itu yang berlangsung di Dataran Merah di sini, menampilkan perarakan kira-kira 11,000 anggota tentera dan lebih 130 kenderaan tentera.
Beliau menyalahkan Barat dan Ukraine atas konflik hari ini.
(Presiden Rusia Vladimir Putin meninggalkan Dataran Merah
selepas perarakan tentera Hari Kemenangan pada 9 Mei 2022/AFP)
Putin tidak membuat sebarang pengumuman besar mengenai langkah Rusia seterusnya di Ukraine seperti yang disebut-sebut para pemimpin Amerika Syarikat dan sekutunya serta digembar-gemburkan media Barat. -AFP