fb fb fb fb fb

Musim pilihan raya Filipina bermula, nasib Sara Duterte jadi tumpuan

Sara Duterte/AFP

MANILA, 11 Februari- Kempen pilihan raya separuh penggal di Filipina bermula hari ini dengan tumpuan diberikan kepada keputusan Senat yang boleh menentukan masa depan politik Naib Presiden Sara Duterte selepas pemecatannya minggu lalu.

Pilihan raya dijadualkan pada 12 Mei ini akan menyaksikan lebih 18,000 jawatan dipertandingkan, namun tumpuan utama diberikan kepada 12 kerusi Senat yang bakal memainkan peranan penting dalam perbicaraan pemecatan Sara.

Sara, anak sulung bekas Presiden Rodrigo Duterte disingkirkan oleh Dewan Perwakilan atas tuduhan melanggar perlembagaan, rasuah serta pengkhianatan amanah awam.

Keputusan muktamad terletak pada Senat yang mana 16 daripada 24 senator perlu menyokong pemecatan Sara untuk menghalangnya daripada bertanding jawatan politik termasuk jawatan presiden.

Ketegangan semakin meningkat apabila insiden berkaitan pilihan raya mula dilaporkan termasuk tembakan terhadap calon tempatan.

Polis kini memantau beberapa kumpulan bersenjata yang dipercayai menyokong ahli politik tertentu dan berpotensi mencetuskan keganasan.

Sementara itu, pemilihan Senat dijangka terus dipengaruhi faktor populariti dengan beberapa calon termasuk ahli keluarga terkenal seperti bekas juara tinju Manny Pacquiao dan adik-beradik Erwin serta Ben Tulfo mendahului tinjauan awal.

Di kubu kuat keluarga Duterte di Davao, bekas Presiden Rodrigo Duterte, 80, bertanding semula sebagai Datuk Bandar, manakala anaknya, Sebastian Duterte, ingin menjadi timbalannya. -AFP

SITI AISHAH MD ISA