fb fb fb fb fb

Misteri dron di AS, White House nafi tuduhan menutup maklumat

Foto AFP

WASHINGTON, 17 Disember- White House pada Isnin menegaskan bahawa dron misteri yang mencetuskan kebimbangan awam di beberapa kawasan di Amerika Syarikat (AS) beroperasi secara sah.

Penafian itu timbul susulan Presiden yang bakal dilantik, Donald Trump mendakwa terdapat tindakan kerajaan untuk menutup kebenaran.

Trump menyatakan bahawa kerajaan AS "tahu apa yang sedang berlaku" ketika mengulas siri penampakan dron di New Jersey dan New York, yang semakin menimbulkan kebimbangan meluas dalam kalangan rakyat.

Pentadbiran Presiden Joe Biden, yang bakal berakhir tidak lama lagi, menerima kritikan hebat kerana gagal mengenal pasti punca sebenar objek berkenaan.

Bagaimanapun, pihaknya menolak dakwaan sebarang usaha menyembunyikan maklumat.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, John Kirby menegaskan bahawa kerajaan bersikap terbuka dan telus dan menjelaskan bahawa kebanyakan penerbangan dron beroperasi secara sah dan mengikut undang-undang.

"Kami menilai bahawa penampakan setakat ini melibatkan gabungan dron komersial yang sah, dron hobi, dron penguat kuasa undang-undang, serta pesawat beroperasi, helikopter dan bintang yang disalah anggap sebagai dron.

"Kami tidak mengenal pasti sebarang kelainan atau ancaman terhadap keselamatan negara atau keselamatan awam," kata Kirby kepada pemberita.

Kirby menjelaskan bahawa penilaian itu dibuat selepas pihak penguat kuasa memeriksa maklumat dengan teliti dan menyusun laporan daripada aduan orang awam.

Pegawai tertinggi AS sebelum ini menolak dakwaan bahawa dron tersebut mempunyai kaitan dengan pihak asing, termasuk teori konspirasi bahawa objek itu berasal dari "kapal induk" Iran atau China di lautan.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM