PRN Negeri Sembilan: SPR sahkan 103 calon bertanding rebut 36 kerusi DUN

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 18 Julai – Seramai 103 calon mewakili pelbagai parti dan individu disahkan bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, selepas proses penamaan calon ditutup pukul 10 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembahagian calon mengikut parti: PH 36, BN 25, Bersatu 24, PN 11, Bebas 4; Berjasa, Asli dan PSM masing-masing seorang.
  • Corak pertandingan: 21 kerusi tiga penjuru, 11 kerusi satu lawan satu, dua kerusi empat penjuru dan dua kerusi lima penjuru.
  • Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pada hari penamaan calon sehingga 31 Julai, 11.59 malam, SPR tubuhkan 36 pasukan penguatkuasa.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya menerima dan mengesahkan sebanyak 103 kertas penamaan calon yang layak bertanding bagi PRN Negeri Sembilan.

“Daripada jumlah itu, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon, Perikatan Nasional (PN) 11 calon dan Bebas empat calon.

“Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (Asli) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang calon,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Datuk Seri Ramlan berkata, tiada kertas penamaan ditolak sepanjang proses penamaan calon di lapan Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebanyak 21 kerusi DUN menyaksikan pertandingan tiga penjuru, diikuti 11 kerusi satu lawan satu, manakala masing-masing dua kerusi melibatkan pertandingan empat penjuru dan lima penjuru.

“Daripada keseluruhan calon yang bertanding, seramai 94 ialah lelaki manakala sembilan lagi wanita,” katanya.

Beliau berkata, calon yang bertanding berdasarkan umur, termasuk tiga calon berusia 18 hingga 29 tahun, 12 calon (30 hingga 39 tahun), 39 calon (40 hingga 49 tahun), 33 calon (50 hingga 59 tahun) dan 16 calon berusia 60 tahun ke atas.

“Calon tertua ialah calon PH bagi DUN Gemencheh, Abd Latif A Tambi berusia 70 tahun, manakala calon termuda ialah calon Bersatu bagi DUN Sri Tanjung, Leevineshwaraan Murugan berusia 23 tahun,” ujar beliau.

Tambah beliau, tempoh rasmi berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan pada hari penamaan calon oleh pegawai pengurus sehingga pukul 11.59 malam, 31 Julai ini.

“SPR telah menubuhkan 36 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen,” katanya.

Katanya, SPR juga berharap agar aktiviti berkempen yang dibenarkan akan berjalan dalam suasana penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.