
JEMPOL, 18 Julai – Prestasi pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 menjadi antara fokus kempen Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, kali ini.
- Peningkatan kutipan zakat, hasil negeri dan kemasukan pelaburan baharu.
- Pembinaan pelabuhan baharu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan tambahan.
- Calon PH janjikan peluang pekerjaan kepada golongan muda melalui perkembangan ekonomi negeri.
- Seruan berkempen sihat: elak fitnah, berita palsu dan perkara berunsur 3R; kebajikan petugas media dipantau.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sepanjang tempoh tersebut, banyak kejayaan Datuk Seri Aminuddin dapat dilihat termasuk peningkatan kutipan zakat, hasil negeri dan kemasukan pelaburan baharu.
“Kita lihat prestasi pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun sejak 2018 hingga sekarang merupakan prestasi yang sangat baik. Kita lihat kutipan zakat meningkat, kutipan hasil bagi negeri meningkat dan pelaburan masuk.
“Terkini ada satu pelabuhan baharu yang akan dibina dan pelaburan seperti ini akan mewujudkan peluang pekerjaan tambahan,” katanya ketika ditemui di luar Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, di sini hari ini.
Datuk Seri Fahmi turut memaklumkan, isu peluang pekerjaan antara perkara utama yang sering dibincangkan khususnya oleh anak muda di kawasan seperti Jempol dan Jeram Padang.
Menurut beliau calon PH akan membawa harapan kepada golongan muda menerusi peluang pekerjaan yang dijangka terhasil daripada perkembangan ekonomi negeri.
Dalam pada itu, Datuk Seri Fahmi turut menyeru semua pihak termasuk pengguna media sosial supaya berkempen secara sihat sepanjang tempoh PRN dengan mengelakkan penyebaran fitnah, berita palsu dan perkara berunsur 3R (kaum, agama, institusi diraja).
Beliau berkata liputan terhadap semua calon juga dapat dilakukan dengan baik, selain kebajikan petugas media akan terus dipantau sepanjang tempoh kempen.
“Kita akan berkempen dengan sihat, kita akan lihat kepada prestasi dan elak daripada kempen mencaci, fitnah itu tidak sihat untuk demokrasi negara kita,” katanya.