
TEHRAN, 18 Julai – Iran memberi amaran akan melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran sekiranya Amerika Syarikat (AS) meneruskan serangannya terhadap negara Teluk itu.
- Tehran tidak akan mengehadkan tindakan kepada serangan sahaja, akan gunakan keupayaan ketenteraan tambahan termasuk pasukan darat.
- Intensiti operasi akan meningkat. AS perlu menunggu gelombang peluru berpandu dan dron lebih meluas, pangkalan dan anggota tidak selamat.
- Dasar serentak perang dan rundingan sudah berakhir; Rezaei tuduh AS melakukan kesilapan perhitungan yang membesarkan konflik ke peringkat serantau.
Penasihat tentera kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei berkata Tehran tidak akan mengehadkan tindakannya kepada serangan, malah menggunakan keupayaan ketenteraan tambahan, termasuk pasukan darat.
Beliau turut memberi amaran bahawa intensiti operasi ketenteraan Iran akan meningkat dalam beberapa hari akan datang.
“AS perlu menunggu gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang lebih meluas. Pangkalan dan anggota tentera AS tidak akan selamat,” katanya dalam wawancara dengan televisyen kerajaan IRIB pada Jumaat.
Rezaei menegaskan dasar melaksanakan peperangan dan rundingan secara serentak kini telah berakhir.
Menurut beliau, Iran sebelum ini bertindak secara terkawal bagi mengelakkan konflik berkembang menjadi krisis serantau dan antarabangsa yang lebih luas.
Bagaimanapun, beliau menuduh AS melakukan kesilapan perhitungan dengan mengakibatkan konflik itu merebak ke peringkat serantau.
Beliau merujuk kegagalan Israel berundur dari selatan Lubnan, serangan AS di kawasan pesisir Iran serta pembekuan berterusan aset Iran yang sebelum ini dijanjikan untuk dilepaskan.
Terdahulu, tntera AS melancarkan beberapa gelombang serangan terhadap selatan Iran sejak beberapa hari lalu dengan mendakwa tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan Tehra ke atas kapal di Selat Hormuz.
Washington berkata serangan berkenaan bertujuan melemahkan keupayaan Iran mengancam perkapalan komersial.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap pangkalan serta kemudahan tentera AS di rantau berkenaan. – REUTERS