fb fb fb fb fb

Lagi serangan pisau di Sydney, Paderi ditikam secara 'live streaming'

Paderi terkemuka Biskop Mar Mari Emmanuel dari Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd ditikam berkali-kali secara tiba-tiba menerusi siaran secara langsung/Syot layar Youtube

AUSTRALIA, 16 April - Polis Australia menyifatkan serangan pisau ketika upacara keagamaan di gereja Assyria di Sydney adalah tindakan pengganas yang didorong oleh ekstremisme agama.

Sekurang-kurangnya empat orang cedera dalam serangan itu termasuk seorang paderi terkemuka Biskop Mar Mari Emmanuel dari Gereja Assyrian Christ The Good Shepherd di Wakeley, barat daya Sydney.

Rakaman insiden yang turut disiarkan secara siaran langsung pada pukul 7 malam (waktu tempatan) pada Isnin telah meraih ratusan ribu tontonan di YouTube dan juga TikTok.

Rakaman itu menunjukkan Biskop Emmanuel sedang memimpin upacara keagamaan dan dihampiri seorang lelaki remaja berusia 15 tahun yang menikam bahagian kepalanya beberapa kali secara tiba-tiba.

Pihak berkuasa New South Wales (NSW) mengesahkan seorang lelaki telah ditahan manakala empat mangsa berusia dalam lingkungan antara 20-an dan 60-an cedera.

"Salah seorang mangsa berumur dalam lingkungan 50-an yang cedera akibat ditikam telah dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

"Kami percaya ada unsur dari segi ekstremisme bermotifkan agama," kata Pesuruhjaya Polis NSW, Karen Webb semasa sidang media.

Ia merupakan serangan tikaman kedua dalam tempoh hanya tiga hari selepas enam orang terbunuh dalam serangan tikam secara rambang di sebuah pusat beli-belah tepi pantai di kawasan Bondi pada Sabtu lalu.

Paderi Emmanuel pernah meraih sejumlah besar pengikut dalam talian ketika pandemik COVID-19 dan pernah berkunjung ke Gaza. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN