NEW YORK, 19 April - Amerika Syarikat (AS) terus angkuh apabila menggunakan kuasa vetonya, menolak usul keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Pengundian berlangsung pada Sidang Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) di Amerika Syarikat, pada Khamis.
Amerika menjadi satu-satunya ahli UNSC yang menolak usul berkenaan manakala dua lagi anggota iaitu Britain dan Switzerland, berkecuali sementara baki 12 ahli, menyokong penyertaan Palestin sebagai anggota penuh PBB.
Seperti biasa, demi membela sekutu rapatnya, Israel, Amerika muncul dengan alasan demi alasan.
Timbalan Duta Besar Amerika ke PBB, Robert Wood berkata sebuah negara Palestin yang merdeka seharusnya ditubuhkan melalui rundingan terus antara pihak berkuasa Palestin dan Israel dan bukannya menerusi tindakan PBB.
Ketika ini, Palestin merupakan negara pemerhati bukan ahli PBB. Ia sebuah pengiktirafan secara de-facto kenegaraan yang diberikan semasa Perhimpunan Agung PBB (UNGA) pada 2012.
Permohonan untuk menjadi ahli penuh PBB perlu diluluskan UNSC dan memperoleh sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga ahli UNGA.
Dalam masa sama, tindakan Amerika itu menerima kecaman hebat majoriti ahli UNSC.
Ia petunjuk jelas bahawa Amerika sengaja menutup mata terhadap penindasan dan kekejaman berterusan rejim Zionis ke atas rakyat Palestin.
Dalam pada itu, Presiden Palestin menyifatkan langkah Amerika syarikat itu sebagai "tidak adil, tidak beretika dan tidak wajar serta mencabar kehendak masyarakat antarabangsa.
Mahmoud Abbas menyatakan, dasar Amerika itu adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Kuasa veto Amerika itu juga menggalakkan perang genosid Israel terhadap Gaza dan Tebing Barat.-AFP